Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Siri Rakam Audio Peribadi, Pengguna Apple Boleh Tuntut Wang
NEW YORK — Pengguna peranti Apple kini dapat membuat tuntutan pampasan kewangan selepas gergasi teknologi Apple Inc. bersetuju untuk membayar sebanyak $95 juta saman melibatkan dakwaan pembantu suara Siri melanggar privasi pengguna secara tidak sengaja, lapor CBC News.
Difahamkan, tuntutan kewangan itu telah dibuka sehingga 2 Julai 2025.
Keputusan dibuat syarikat peranti gergasi itu susulan saman yang difailkan pada tahun 2021 oleh Fumiko Lopez, seorang penduduk California, yang mendakwa bahawa perbualan peribadinya telah dirakam oleh Siri tanpa kebenaran, sebelum dikongsi kepada pihak ketiga seperti restoran dan jenama pakaian.
Dia serta pengguna lain mendakwa menerima iklan sasaran di pelayar web Safari dan platform carian Apple.
Meskipun bersetuju untuk membayar saman itu, Apple menafikan semua dakwaan dan menegaskan bahawa syarikat itu tidak melakukan sebarang salah laku atau pelanggaran undang-undang.
Pengguna yang memiliki peranti Apple dengan fungsi Siri antara 17 September 2014 hingga 31 Disember 2024 layak membuat tuntutan.
Antara peranti yang layak adalah iPhone, iPad, Apple Watch, MacBook, iMac, HomePod, iPod Touch dan Apple Tv.
Pengguna boleh menuntut sehingga $20 (kira-kira RM86) bagi setiap peranti, dengan had maksimum lima peranti, dengan jumlah maksimum tuntutan sebanyak $100 (sekitar RM432) bagi setiap individu.
Pengguna yang layak akan menerima e-mel atau poskad rasmi mengandungi ID tuntutan dan kod pengesahan untuk membuat tuntutan di laman rasmi penyelesaian sebelum 2 Julai 2025. E-mel berkenaan tertera “Lopez Voice Assistant Class Action Settlement.”
Bayaran hanya akan dibuat selepas perbicaraan kelulusan akhir pada 1 Ogos 2025 di mahkamah persekutuan California. Sekiranya tiada rayuan dikemukakan, bayaran akan diproses secepat mungkin.
Pengguna boleh memilih kaedah pembayaran semasa menghantar tuntutan, sama ada melalui cek fizikal, e-cek atau pindahan terus ke akaun bank.
Sumber: CBS News, Lopez Voice Settlement