Siakap Keli
ADUN angkat p pinang
Kredit: Bernama

P.Pinang Akan Lantik ‘ADUN Angkat’ Susulan Pengosongan Kerusi Empat ADUN

P.Pinang Akan Lantik ‘ADUN Angkat’ Susulan Pengosongan Kerusi Empat ADUN

GEORGE TOWN, 7 Mac (Bernama) — Kerajaan P.Pinang akan melantik ‘Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) angkat’ susulan pengosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya, Sungai Acheh, Bertam dan Teluk Bahang.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata tindakan diambil supaya kesemua ‘ADUN angkat’ itu menguruskan keempat-empat kawasan berkenaan dalam tempoh kekosongan.

“Ekoran pengosongan ini, kerajaan negeri telah mengambil tindakan untuk membolehkan pelantikan ADUN angkat yang terdiri daripada beberapa ADUN untuk mengurus kawasan berkenaan.

“Tindakan juga diambil supaya rakyat dan pengundi tidak berasa terpinggir serta mendapat pembelaan dan dijaga oleh kerajaan negeri dengan peruntukan yang sama di kawasan masing-masing,” katanya pada persidangan DUN Pulau Pinang hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Lim Guan Eng (PH-Air Putih) berkenaan tindakan kerajaan Pulau Pinang untuk menjaga empat kawasan DUN terlibat.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Lim berkenaan dakwaan ketua pembangkang Parlimen dan Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin bahawa tindakan meluluskan usul mengosongkan kerusi empat ADUN adalah penyalahgunaan kuasa, Chow berkata kenyataan berkenaan adalah penghinaan kepada Mahkamah Persekutuan dan Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

DUN Pulau Pinang semalam telah membahaskan dan meluluskan usul bagi mengisytiharkan pengosongan empat kerusi ADUN yang terdiri daripada ahli Bersatu iaitu Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya); Zulkfili Ibrahim (Sungai Acheh); Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Teluk Bahang).

Keempat-empat mereka meninggalkan bangunan DUN kira-kira pukul 1 tengah hari selepas diarahkan berbuat demikian oleh Speaker DUN Datuk Law Choo Kiang sebaik sahaja usul itu mendapat sokongan majoriti ADUN.

Law turut memaklumkan bahawa sesuatu kekosongan luar jangka tidak boleh diisi memandangkan DUN akan terbubar kurang daripada dua tahun.

BACA: DUN P.Pinang Lulus Usul Isytihar Pengosongan Kerusi Empat DUN

Sumber: Bernama

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma