Siakap Keli
bank islam moratorium enam bulan
Kredit: BERNAMA

Bank Islam Tawar Moratorium Hingga Enam Bulan Kepada Mangsa Banjir

Bank Islam Tawar Moratorium Hingga Enam Bulan Kepada Mangsa Banjir

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) — Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) mengumumkan pelaksanan moratorium sehingga enam bulan kepada  pelanggan kemudahan pembiayaan perumahan, peribadi dan kenderaan yang terjejas dengan bencana banjir.

Bagaimanapun, permohonan penangguhan bayaran ansuran bulanan sehingga tempoh enam bulan itu tertakluk kepada terma dan syarat ditetapkan.

Bank Islam, dalam kenyataan hari ini, memaklumkan kemudahan moratorium itu turut disediakan kepada pelanggan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sebagai meneruskan Program Prihatin Banjir untuk membantu para pelanggan pembiayaan yang terjejas.

“Selain itu, Bank Islam juga tidak akan mengenakan sebarang caj bagi penggantian kad kredit-i dan debit-i serta buku cek yang rosak atau hilang ekoran bencana yang berlaku,” katanya.

Bank tersebut memaklumkan  kemudahan Bantuan Bencana (DRF) untuk industri perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) khusus untuk pelanggan pembiayaan Perniagaan-i yang terkesan.

BACA: Kerajaan Berhubung Dengan Bank Sediakan Moratorium Mangsa Banjir – PM Anwar

“Di bawah kemudahan ini, perusahaan mikro yang layak boleh memohon pembiayaan sehingga RM150,000. Pembiayaan berjumlah RM700,000 disediakan untuk PKS dengan tempoh tujuh tahun, termasuk moratorium selama enam bulan.

“Bantuan kewangan ini dibuka kepada semua kemudahan kredit dengan bayaran berjadual atau secara kontrak, khususnya Kemudahan Pembiayaan Berjangka, Kemudahan Kredit Pusingan & Aliran Tunai serta Kemudahan Perdagangan,” katanya.

Permohonan Program Prihatin dan DRF boleh dibuat di cawangan Bank Islam terdekat dalam tempoh tiga bulan selepas kejadian dan boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari www.bankislam.com/program-prihatin-banjir/.

Pelanggan boleh menghubungi Pusat Panggilan Bank Islam di [email protected] atau 03- 26 900 900  sementara pelanggan perniagaan boleh menghantar e-mel ke [email protected].

Kerajaan berhubung dengan bank sediakan moratorium mangsa banjir – PM Anwar

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan akan berhubung dengan pihak bank bagi membenarkan moratorium diberikan kepada peminjam yang terkesan akibat banjir, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata ini berdasarkan cadangan daripada kerajaan Johor yang meminta bantuan itu diberikan, dan setakat ini Maybank dan CIMB telah bersetuju untuk memberikan moratorium selama enam bulan.

“Kita juga hubungi bank-bank lain supaya mengikuti langkah Maybank dan CIMB,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi meminta kerajaan mempertimbangkan moratorium antara tiga hingga enam bulan diberikan kepada mangsa banjir di negeri berkenaan.

Sumber: BERNAMA

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana