Siakap Keli
7 Keajaiban Dunia
Gambar: The Collector

Kenali 7 Keajaiban Di Dunia Pada Zaman Moden

Kenali 7 Keajaiban Di Dunia Pada Zaman Moden

Senarai pertama ‘7 Keajaiban Dunia Purba’ telah dibuat lebih daripada 2000 tahun lalu oleh pengembara Hellenic yang mengagumi pembinaan buatan manusia yang dikatakan paling luar biasa di dunia.

Sejak itu, kebanyakan senarai asal telah dimusnahkan, selain daripada Piramid Agung Giza.

Pada tahun 2001, pengarah filem Kanada kelahiran Switzerland, Bernard Weber menubuhkan New7Wonders Foundation untuk mencari tujuh keajaiban dunia baharu untuk era moden dan dipilih berdasarkan undian daripada orang ramai.

Menurut The Collector, berikut merupakan 7 bangunan atau ciptaan yang dianggap sebagai dunia zaman moden.

7 keajaiban dunia pada zaman moden

1. The Colosseum, Rome, Itali

Gambar: National Geographic

Colesseum adalah pentas besar atau dipanggil sebagai amfiteater terbesar pernah dibina pada Empayar Rom, ia dibina daripada pasir dan batu selama lapan tahun, dari tahun 72 hingga tahun 80.

Struktur yang sangat besar itu boleh memuatkan 80,000 penonton, disusun dalam lingkaran bulat di sekeliling pentas.

Difahamkan, terdapat peristiwa dramatik dan mengerikan pernah berlaku di sini.

Bukan sahaja permainan gladiator tetapi juga pementasan drama klasik, pemburuan haiwan dan hukuman mati.

Ada juga yang mengatakan air dipam ke dalam arena untuk melancarkan pertempuran laut olok-olok.

Namun sebahagian daripada monumen bersejarah ini rosak akibat gempa bumi, selain batu binaannya dikatakan dicuri pihak tertentu selama berabad-abad.

Colosseum masih menjadi bangunan ikonik sejarah Rom dan telah dikunjungi oleh beribu-ribu pelancong setiap tahun.

2. The Great Wall of China

Gambar: The Collector

The Great Wall of China atau Tembok Besar China ialah penghalang besar yang menjangkau beribu-ribu batu panjangnya di sepanjang sempadan utara China yang bersejarah.

Dipercayai dicipta selama beribu tahun, tembok itu mula dibina sejak abad ke- 7 lagi sebagai penghalang dan pelindung daripada musuh ketika era tersebut.

Pada 220 Masihi, maharaja pertama China, Qin Shi Huang mendalangi penyatuan semua tembok China menjadi batu penghalang dengan mengukuhkan dan memanjangkan tembok untuk menghalang penceroboh dari utara.

Kini, tembok yang berukuran 13,171 batu itu diiktiraf sebagai salah satu daripada tujuh keajaiban dunia.

3. Taj Mahal, India

Gambar: Architectural Digest

Taj Mahal (Mahkota Istana dalam Bahasa Parsi) yang terkenal di India ialah makam yang menakjubkkan di tebing Sungai Yamuna di bandar Agra.

Monumen bersejarah tersebut telah dipilih sebagai salah satu daripada tujuh keajaiban di dunia.

Maharaja Mughal Shah Jahan membina bangunan itu sebagai makam untuk isteri tercintanya Mumtaz Mahal, yang meninggal dunia semasa melahirkan anak pada 1631.

Ia merupakan sebuah makam marmar yang dikelilingi oleh kawasan seluas 42 ekar yang dilengkapi dengan taman, masjid, rumah tamu dan kolam renang.

Keseluruhan projek pembinaannya mengambil masa lebih 22 tahun untuk disiapkan oleh 20,000 pekerja dengan kos 32 juta rupee (RM1.75 juta).

Kini, Taj Mahal telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan menjadi komponen penting dalam sejarah Mughal India.

4. Christ the Redeemer, Brazil

Gambar: Conde Nast Magazine

Patung Christ The Redeemer atau Kristus Penebus terletak di atas Rio de Janeiro di puncak Gunung Corcovado, Brazil.

Dengan ketinggian 30 meter, monumen ini merupakan lambang ikonik Brazil.

Patung yang besar ini direka oleh pengukur dari Poland-Perancis, Paul Landowski pada tahun 1920-an dan disiapkan oleh jurutera Brazil, Heitor da Silva Costa dan jurutera Perancis, Albert Caquot pada tahun 1931.

Diperbuat daripada konkrit dengan lebih 6 juta jubin batu, Christ The Redeemer ialah arca Art Deco terbesar di dunia.

Difahamkan, patung ini dibina sejurus selepas tamat Perang Dunia Pertama dan menjadi simbol kepercayaan agama Kristian di negara itu.

5. Machu Picchu, Peru

Gambar: Business Insider Australia

Machu Picchu ialah sebuah kubu yang ‘hilang’ pada abad ke-15, menjadi misteri dunia sebelum dijumpai semula di pergunungan Andes di atas Lembah Suci, Peru.

Uniknya, ia adalah satu-satunya runtuhan pra-Columbus yang ditemui hampir utuh sekaligus memaparkan bukti kewujudan tamadun purba melalui struktur bekas plaza, kuil, teres pertanian dan rumah.

Ahli arkeologi percaya bahawa kawasan itu dibina sebagai ladang untuk Maharaja Inca Pachacuti pada sekitar 1450.

Bagaimanapun, masyarakat Inca meninggalkan tapak itu seabad kemudian.

Ia kekal tersembunyi selama beribu tahun sebelum dijumpai semula oleh ahli sejarah Amerika, Hiram Bingham pada tahun 1911.

6. Chichén Itzá, Mexico

Gambar: Air France

Chichén Itzá terletak di negeri Yucatán di Mexico, ia merupakan sebuah bandar Maya bersejarah yang dibina antara abad ke-9 dan ke-12.

Dibina oleh puak Maya pra-Columbus Itzá, bandar ini termasuk beberapa siri monumen dan kuil. Yang paling terkenal ialah El Castillo yang juga dikenali sebagai Kuil Kukulcan.

Ia adalah piramid besar yang berada di tengah-tengah bandar dan dibina sebagai kuil penyembahan kepada dewa Kukulkan.

Kui tersebut dikatakan mempunyai 365 anak tangga, setiap satu anak tangga dibina setiap hari dalam masa setahun.

Lebih mengagumkan, semasa musim bunga dan musim panas, matahari akan memancarkan bayang-bayang segi tiga menuruni tangga utara piramid.

Pancaran matahari itu menyerupai ular berbulu yang merayap di permukaaannya, menuju ke arah kepada ular batu di pangkalan.

7. Petra, Jordan

Gambar: The Collector

Petra, bandar purba yang terletak di selatan Jordan juga dikenali sebagai ‘Kota Mawar’ kerana warna keemasannya yang menonjol bermula sejak 312 Masihi.

Terletak di lembah terpencil, bandar purba ini diasaskan oleh Arab Nabateans, sebuah tamadun lama yang mahir dengan ukiran seni bina menakjubkan dan laluan air yang kompleks daripada muka batu di sekelilingnya.

Orang Nabateans juga menubuhkan Petra sebagai hab perdagangan yang berjaya, memperoleh kekayaan yang besar dan populasi yang berkembang pesat sebelum musnah akibat gempa bumi.

Tidak diketahui oleh dunia Barat selama berabad-abad, bandar itu akhirnya ditemui pada tahun 1812 oleh penjelajah Switzerland, Johann Ludwig Burckhardt.

Penyair dan sarjana abad ke-19, John William Burgon menyifatkan Petra sebagai ‘kota merah mawar yang separuh tua dari masa’.

Sumber: The Collector

Noorliyana Ishak