Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Wanita Tatap Wajah Arwah Abah Zaman Muda, Gagal Tahan Tangis
Bila insan tersayang sudah tiada di sisi, yang tinggal hanyalah kenangan.
Kadang-kadang, hanya melalui sekeping gambar lama atau video yang pernah dirakam, kita dapat mengubat sedikit rasa rindu yang tidak pernah hilang.
Walaupun hati sayu melihat wajah yang tidak mungkin lagi dapat dipeluk atau disapa, memori itulah yang menjadi pengubat buat mereka yang ditinggalkan.
Itulah yang dirasai oleh seorang wanita apabila berkongsi detik menyentuh hati selepas menerima tempahan Foto Kenangan Terindah JPN yang dinantikan sejak sekian lama.
Menerusi perkongsian di TikTok, wanita itu memuat naik video "reaction" selepas menerima foto itu daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Melihat semula wajah arwah ayah ketika masih muda membuatkan dirinya tidak mampu menahan air mata.
"Walaupun sekadar kepingan gambar IC tapi setidaknya dapat mengubati rasa rindu tiada penghujung. In shaa Allah kita jumpa di syurga ye Abah. Al fatihah untuk arwah," tulisnya.
Bagi sesetengah orang, mungkin ia hanya sekeping gambar lama. Namun bagi mereka yang sudah kehilangan insan tersayang, gambar seperti itu membawa seribu satu kenangan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.
Ada senyuman yang pernah menyambut kepulangan kita. Ada wajah yang pernah menjadi tempat mengadu. Ada insan yang pernah menjadi pelindung, tetapi kini hanya tinggal dalam memori.
Sebab itulah ramai yang memahami perasaan wanita tersebut.
Kalau pertama kali dengar, jangan risau. Ramai juga yang tertanya-tanya apa sebenarnya program ini.
Foto Kenangan Terindah JPN bukanlah dokumen rasmi. Ia sebenarnya koleksi gambar MyKad lama yang dicetak dalam bentuk edisi khas.
Lebih kepada keluaran eksklusif untuk simpanan peribadi, sebagai kenangan sentimental atau hadiah istimewa untuk ahli keluarga.
Bayangkan, anda boleh melihat semula wajah sendiri ketika pertama kali ambil gambar IC belasan tahun lalu. Atau mungkin gambar ibu bapa dan datuk nenek ketika masih muda, diabadikan semula dalam bentuk bingkai eksklusif.
Menariknya, program ini bukan dibuka sepanjang tahun. Ia hanya dibuka sekali setahun sempena sambutan Hari Pendaftaran Negara.
Disebabkan peluangnya terhad, ramai yang sentiasa menunggu tarikh permohonan dibuka bagi mendapatkan foto kenangan masing-masing.
Mungkin wanita yang tular ini juga membuat tempahan ketika permohonan dibuka tahun lalu dan baru sahaja menerima hasilnya baru-baru ini.
Bagi yang berminat, tempahan boleh dibuat menerusi portal rasmi JPN apabila permohonan dibuka kelak.
Permohonan yang berjaya biasanya akan diproses dalam tempoh antara sebulan hingga enam bulan, bergantung kepada carian dan rekod yang ditemui.