Siakap Keli
Hospital Cyberjaya berpotensi
Kredit BERNAMA

Hospital Cyberjaya Berpotensi Jadi Hospital Rujukan Utama

Hospital Cyberjaya Berpotensi Jadi Hospital Rujukan Utama

CYBERJAYA, 9 Mac (Bernama) — Hospital Cyberjaya berpotensi menjadi hospital rujukan utama sebagai kesiapsiagaan menghadapi apa-apa bencana di pintu masuk negara iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata ini kerana kedudukan Hospital Cyberjaya yang strategik, selain arena sukan Litar Antarabangsa Sepang dan ‘Silicon Valley’ Cyberjaya, yang terletak di daerah Sepang, juga akan dapat memanfaatkan perkhidmatan kesihatan hospital berkenaan.

“Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meneliti keperluan untuk menyediakan sebuah mesin pengimejan resonans magnetik (MRI) di Hospital Cyberjaya, untuk menampung keperluan semasa serta peranan hospital ini sebagai hospital rujukan bagi sebarang kejadian bencana KLIA,” katanya dalam ucapan sempena majlis perasmian Hospital Cyberjaya di sini hari ini.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan Hospital Cyberjaya itu, yang dibina dengan kos kira-kira RM508.8 juta.

Dr Zaliha dalam teks ucapannya yang dibacakan timbalannya Lukanisman Awang Sauni berkata pembinaan Hospital Cyberjaya antara lain bertujuan mengurangkan kadar penghunian katil (BOR) hospital di Lembah Klang yang tinggi, selain mengurangkan kesesakan hospital berdekatan seperti Hospital Serdang, Hospital Kajang dan Hospital Putrajaya.

Beliau berkata pada masa ini kadar penggunaan katil di hospital awam di daerah Sepang dan Hulu Langat terutamanya Hospital Kajang, melebihi 90 peratus, manakala BOR melebihi 80 peratus di Hospital Serdang dan Hospital Ampang.

Beliau berkata Hospital Cyberjaya yang mempunyai sembilan tingkat merupakan hospital pakar major yang menyediakan perkhidmatan kepakaran canggih dengan lapan dewan bedah, 10 bilik bersalin dan kapasiti 288 katil.

“Insya-Allah, Hospital Cyberjaya akan memanfaatkan kira-kira 282,000 penduduk di Sepang, termasuk di kawasan mukim Dengkil dan Labu,” katanya.

Beliau berkata KKM juga sedang mengkaji untuk mewujudkan perkhidmatan perubatan geriatrik dan perkhidmatan psikiatri di Hospital Cyberjaya dalam masa terdekat, dengan mengambil kira trend peningkatan warga emas dan penularan penyakit mental dalam kalangan rakyat.

Sumber: BERNAMA

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka