Siakap Keli
makan kelapa rawat gerd
Gambar: Oddity Central

Lelaki Makan Kelapa Selama 28 Tahun, Dakwa Ikhtiar Rawat Penyakit GERD

Lelaki Makan Kelapa Selama 28 Tahun, Dakwa Ikhtiar Rawat Penyakit GERD

Seorang lelaki di India mendakwa dirinya tidak makan apa-apa selain kelapa sejak 28 tahun lalu sebagai ikhtiar merawat penyakit gastroesophageal reflux (GERD) yang dialaminya.

Menurut laporan Oddity Central, Balakrishnan Palayi mendakwa bahawa dengan memakan kelapa, ia memastikan dirinya berada dalam keadaan yang sihat dan cergas.

Sebelum ini, Balakrishnan Palayi yang berasal dari Chandera di Kasaragod, disahkan menghidap GERD hingga menyebabkan dia kehilangan semua kekuatannya sehingga dia sukar untuk bergerak.

Namun difahamkan, sebagai sebahagian ikhtiar dalam rawatannya, dia mula mengamalkan makan kelapa dan mendakwa penyakitnya mulai reda.

Tidak lama kemudian, Balakrishnan memutuskan bahawa kelapa adalah satu-satunya makanan yang dia akan makan untuk hari-hari seterusnya.

Seorang vlogger dan pempengaruh, Shenaz yang mewawancara Balakrishnan berkata, kelapa memiliki pelbagai khasiat seperti kalsium, magnesium, natrium dan kalium.

“Ia membantunya mendapatkan semula kekuatannya dan kini dia cergas dan sihat dengan mengamalkan diet kelapa sahaja,” katanya.

Imbas kembali pada zaman mudanya, Balakrishnan difahamkan merupakan seorang pemain bola sepak di sebuah kelab tempatan.

Kelapa membuatkan kesihatan Balakrishnan semakin bertambah baik

Namun ketika usianya 35 tahun, doktor mendiagnosisnya dengan penyakit GERD.

Setiap kali makan, makanan itu didakwa ‘ditolak’ semula dari perutnya ke dalam esofagus dan kemudiannya dia akan muntah.

Balakrishnan telah mencuba berbagai-bagai diet tetapi kelapa dan air kelapa sahaja satu-satunya makanan yang benar-benar membuatkan dia berasa lebih baik.

Jadi sebab itu, dia menjadikan kelapa sebagai amalan selama hampir 28 tahun, lapor Oddity Central.

“Saya makan kelapa setiap hari. Keluarga saya juga beralih kepada penanaman kelapa. Saya telah hidup seperti ini sejak 24 tahun yang lalu,” kata Balakrishnan.

Kini pada usia 64 tahun, Balakrishnan jauh lebih sihat daripada kebanyakan individu yang sebaya dengannya.

Difahamkan, dia kini bekerja di ladang milik keluarga, selain boleh melakukan aktiviti sihat seperti berenang dan bersenam setiap hari serta tidak mempunyai masalah kesihatan serius.

Sebelum ini, pengamalan diet kelapa Balakrishnan pernah dilaporkan dalam artikel akhbar New Indian Express pada 2019 hingga mendapat perhatian meluas sejak itu.

Walaupun ia memberikan kesan yang positif, seorang pengamal perubatan, Dr. Tushar Tayal berkata kesnya adalah unik dan dia tidak mengesyorkan sesiapa mencuba diet kelapa.

Sumber: Oddity Central

Noorliyana Ishak