Siakap Keli
subsidi diesel
Kredit: BERNAMA

Lima Kementerian Bermesyuarat Teliti Laporan Isu Ketirisan Subsidi Diesel

Lima Kementerian Bermesyuarat Teliti Laporan Isu Ketirisan Subsidi Diesel

KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) — Lima kementerian akan mengadakan mesyuarat dalam beberapa minggu lagi bagi meneliti laporan mengenai isu ketirisan subsidi diesel yang menjangkau hampir RM10 bilion, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Beliau berkata selain kementeriannya, empat lagi kementerian yang terlibat ialah Kementerian Kewangan; Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pertahanan (MINDEF) serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS).

“Ops TIRIS telah dilancarkan bagi membanteras (penyelewengan diesel bersubsidi) dan saya akan meneliti laporan itu nanti. Pada masa yang sama pasukan khas juga telah diwujudkan, jadi biarkan mereka lakukan siasatan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain itu Salahuddin berkata beliau juga telah mengarahkan agar satu pasukan bertindak khas yang diketuai Ketua Setiausaha Kementeriannya Datuk Azman Mohd Yusof ditubuhkan serta-merta bagi menangani isu ketirisan subsidi diesel itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 memaklumkan wujud ketirisan dalam subsidi diesel dengan anggaran hampir RM10 bilion nilai subsidi diesel dipercayai diseleweng tahun lepas.

Sementara itu, Salahuddin juga berkata Kafe Rahmah untuk mahasiswa universiti di negara ini akan diperkenalkan selepas Hari Raya Aidilfitri ini di bawah inistiatif Payung Rahmah.

Katanya ia merupakan kesinambungan daripada program Menu Rahmah, Bakul Rahmah, Pakej Rahmah dan Jualan Rahmah yang telah dan sedang dilaksanakan.

Menurutnya sehingga kini 1,193 pengusaha kedai makanan daripada pengusaha bawah pokok sehingga restoran mewah dan terkemuka telah terlibat dalam inisitif Menu Rahmah.

Persidangan dewan bersambung esok.

KPDN P.Pinang rampas 22,840 liter diesel bersubsidi cuba diseleweng

Dalam pada itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menumpaskan sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi dengan merampas sebuah tangki berisi 22,840 liter bahan api itu yang dianggar bernilai RM50,000 dalam serbuan.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa negeri, A. Mogan berkata Ops Tapis pada 4 petang itu menyerbu kawasan stor tidak berlesen di Permatang Pauh, di sini dan membongkar kegiatan berkenaan yang didapati beroperasi sejak sebulan lepas.

“Bertindak hasil risikan dan maklumat sejak seminggu lepas, KPDN Pulau Pinang mengesan pergerakan sebuah kepala lori yang mengisi diesel bersubsidi di beberapa stesen minyak di sekitar kawasan negeri ini sebelum membawa bahan api ke kawasan stor tersebut.

“Pasukan penguat kuasa yang mengekori lori itu mendapati pemandunya telah memindahkan sejumlah diesel dari tangki lori tersebut ke sebuah tangki yang berisi lebih 21,000 liter bahan api tersebut di situ (stor). Terdapat dua tangki di situ namun satu lagi kosong,” katanya.

Sumber: BERNAMA

BACA: Lebih 300 Pegawai Polis Ditukar Akibat Masalah Disiplin Sejak 2018 – KDN

Nurhanis

Mungkin tidak lagi menjadi penulis, tetapi jejakku masih di sini

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.

error: