Siakap Keli
warga emas serangan jantung
Kredit: Mothership

Baru Sampai Tempat Percutian, Warga Emas Dilapor Maut Akibat Serangan Jantung

Baru Sampai Tempat Percutian, Warga Emas Dilapor Maut Akibat Serangan Jantung

Percutian  seorang warga emas di Singapura bertukar tragedi apabila dia meninggal dunia selepas mengalami serangan jantung pada hari pertama percutiannya di Bangkok, Thailand baru-baru ini.

Lapor Mothership, Wu yang juga seorang juruteknik kereta itu mengalami serangan jantung sejurus selepas dia mendarat.

“Menurut seorang rakan, kumpulan itu turun dari pesawat untuk makan malam.

“Suami saya ketika itu berkata dia terasa sakit di bahagian dada. Selepas makan, dalam perjalanan pulang ke hotel, tiba-tiba dia diserang sakit jantung dan jatuh ke tanah,” jelas isteri Wu.

Menurutnya, semasa kejadian berlaku seorang rakan suaminya bertindak untuk memberi pertolongan cemas kepada mangsa.

“Salah seorang rakannya segera melakukan prosedur kecemasan iaitu resusitasi kardiopulmonari dan menelefon ambulans,” katanya.

Isteri Wu menceritakan perkara terbabit kepada media selepas mendapat maklumat daripada rakan suaminya kerana dia tidak mengikuti percutian itu.

Puan Wu dimaklumkan mengenai tragedi itu oleh anak perempuan rakan arwah suaminya, yang muncul di pintu pada waktu malam dengan berita buruk itu.

Pada awalnya, dia tidak mempercayai berita itu namun Puan Wu segera menempah tiket penerbangan ke Thailand selepas memaklumkan kepada anak perempuannya.

BACA: Warga Emas Meninggal Dunia Di PPS Akibat Jangkitan Kuman Dalam Darah

Bawa suami pulang guna duit sendiri

Mangsa menerima bantuan kedutaan ketika berada di Thailand dan syarikat insurans suaminya memaklumkan pihaknya akan mengambil masa beberapa hari untuk menguruskan jenazah dibawa pulang ke Singapura.

Tanpa berlengah, Puan Wu membayar menggunakan duit sendiri untuk menghantar arwah suaminya pulang ke rumah.

“Saya tidak sabar jadi saya memutuskan untuk membawa pulang mayat suami saya menggunakan duit sendiri,” katanya.

Dia juga dimaklumkan bahawa kakitangan perubatan di Thailand telah menjalankan CPR ke atas arwah suaminya dalam perjalanan ke hospital.

Wu yang berusia 59 tahun itu merancang percutian di Thailand pada 27 Februari untuk perjalanan empat hari tiga malam bersama sembilan rakannya.

Teruja untuk jadi datuk

Puan Wu berkata, arwah suaminya adalah pencari nafkah keluarga.

Pasangan ini mempunyai tiga anak perempuan, yang bongsu masih bersekolah dan anak sulung sedang hamil.

“Suami saya sangat teruja menjadi seorang datuk. Dia telah merancang untuk menjual keretanya tahun depan, dan membeli kereta baru untuk membawa cucunya keluar,” ujarnya.

Sumber: Mothership

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana