Asyraf Wajdi Pengerusi MARA Baharu – TPM
KOTA TINGGI, 12 Mac (Bernama) — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengesahkan bekas Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilantik sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) baharu berkuat kuasa Jumaat lepas.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata surat watikah pelantikan jawatan itu diserahkan kepada Asyraf Wajdi di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Putrajaya.
“Asyraf Wajdi telah dilantik, ia bukan desas-desus lagi, saya telah watikahkannya (surat pelantikan) pada Jumaat yang lepas.
“(Gambar tular) Sebab itu bukan berita politik maka ia adalah sahih dan pelantikannya dibuat di KKDW kerana MARA adalah agensi di bawah KKDW,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) di Ibu Pejabat KEJORA, Bandar Penawar di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani.
Asyraf Wajdi, 47, yang juga Sekretariat Kerajaan Perpaduan sebelum ini pernah memegang jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkuat kuasa 29 Julai 2015 hingga 10 Mei 2018.
Sebelum ini, jawatan Pengerusi MARA disandang Datuk Seri Azizah Muhd Dun sejak 1 Mei 2020 dan beliau merupakan bekas Ahli Parlimen Beaufort.
Terdahulu tular di media sosial beberapa keping gambar yang mendakwa Asyraf Wajdi dilantik sebagai Pengerusi MARA baharu.
UMNO: Asyraf Wajdi ganti Ahmad Maslan
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi dilapor dilantik sebagai Setiausaha Agung UMNO yang baharu, menggantikan Datuk Seri Ahmad Maslan.
Perkara itu diumumkan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO 2023-2026 yang pertama, di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.
Pada sidang media itu, Timbalan Perdana Menteri turut mengumumkan pelantikan Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Ketua Penerangan UMNO menggantikan Isham Jalil, manakala Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kekal sebagai Bendahari Agung UMNO.
“Pelantikan mereka dipersetujui dalam mesyuarat yang turut melantik 13 Ahli MT baharu serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri.
Antara yang dilantik sebagai MT ialah Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh, Datuk Ahmad Ismail, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah.
Turut dilantik sebagai MT ialah Datuk Hasmuni Hassan, Datuk Mohd Hasnol Ayub, Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Mohd Ariff Abdul Majid, Datuk Seri Jailani Johari, Datuk Norliza Abdul Rahim, Mohd Hairi Mas Shah dan Siti Sokhleha Nordin.
Sumber: BERNAMA
BACA: Datuk Muhamad Muqharabbin Letak Jawatan EXCO Pemuda UMNO Hari Ini