Siakap Keli
UMNO Asyraf Wajdi
Kredit BERNAMA

UMNO: Asyraf Wajdi Ganti Ahmad Maslan

UMNO: Asyraf Wajdi Ganti Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) — Bekas Ketua Pemuda UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dilantik sebagai Setiausaha Agung UMNO yang baharu, menggantikan Datuk Seri Ahmad Maslan.

Perkara itu diumumkan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO 2023-2026 yang pertama, di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.

Baca: Bayar RM1 Pun ‘Rider’ Hantar, Ni Cara Nak Dapat Cas ‘Delivery’ Paling Rendah Bila Pesan Makanan

Pada sidang media itu, Timbalan Perdana Menteri turut mengumumkan pelantikan Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Ketua Penerangan UMNO menggantikan Isham Jalil, manakala Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kekal sebagai Bendahari Agung UMNO.

“Pelantikan mereka dipersetujui dalam mesyuarat yang turut melantik 13 Ahli MT baharu serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri.

Antara yang dilantik sebagai MT ialah Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh, Datuk Ahmad Ismail, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah.

Turut dilantik sebagai MT ialah Datuk Hasmuni Hassan, Datuk Mohd Hasnol Ayub, Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Mohd Ariff Abdul Majid, Datuk Seri Jailani Johari, Datuk Norliza Abdul Rahim, Mohd Hairi Mas Shah dan Siti Sokhleha Nordin.

Mengenai barisan senarai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Ahmad Zahid mengumumkan pelantikan Datuk Seri Johari Abdul Ghani bagi Wilayah Persekutuan, Datuk Megat Zulkarnain Omardin (Selangor), Datuk Rozabil Abd Rahman (Perlis), Datuk Seri Mahdzir Khalid (Kedah), Datuk Seri Saarani Mohamad (Perak) dan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (Pahang).

“Dengan pelantikan barisan baharu ini, kami berazam untuk menterjemahkan lima hala tuju yang telah saya gariskan, ketika membentangkan ucapan dasar dalam Perhimpunan Agung UMNO yang lalu,” katanya.

Ahmad Zahid berkata menjadi keutamaan parti, untuk bersama menghadapi enam Pilihan Raya Negeri, selain memperkasakan perpaduan dan penyatuan dalam saf kepimpinan UMNO yang baharu di semua peringkat.

“Kita berazam untuk mengubah jentera pilihan raya ke arah pendigitalan dan perkara ini akan diperincikan dan diumumkan nanti. Paling penting pimpinan sekarang ini mendukung Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Sementara itu, UMNO menerusi satu kenyataan menzahirkan kebimbangan sentimen permainan kaum dan agama yang terus menular, dan menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas bagi membendung fenomena yang boleh merosakkan keharmonian negara.

“UMNO beriltizam untuk membantu kerajaan melalui wakil-wakil parti dalam Kerajaan untuk menangani isu peningkatan kos sara hidup yang dihadapi rakyat,” menurut kenyataan itu.

Sumber: BERNAMA

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka