Siakap Keli
rasuah azam baki
Kredit: BERNAMA

Pendidikan Bahaya Rasuah, Salah Guna Kuasa Perlu Dipertingkat – Azam Baki

Pendidikan Bahaya Rasuah, Salah Guna Kuasa Perlu Dipertingkat – Azam Baki

PUTRAJAYA, 15 Mac (Bernama) — Pendidikan mengenai bahaya rasuah dan salah guna kuasa perlu dipertingkatkan bagi mengembalikan semula kegemilangan Malaysia di mata dunia, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

Berucap melancarkan Pertubuhan Anti Korupsi Malaysia (Pakar) di sini hari ini, beliau berkata SPRM akan bekerjasama dengan Pakar bagi melaksanakan usaha pendidikan untuk mengekang dan mengurangkan masalah rasuah di negara ini.

“Mereka yang ada dalam (Pakar) ada kepakaran dalam bidang khusus, yang boleh disumbangkan kepada negara,” katanya.

Ahli Pakar terdiri daripada bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil yang memegang jawatan Presiden dan beberapa lagi pegawai SPRM.

Antara matlamat penubuhan Pakar ialah menyampaikan maklumat anti rasuah secara berterusan, kepada setiap lapisan masyarakat selain menjadi platform dan pentas masyarakat, dalam usaha menjadikan Malaysia bebas rasuah.

Sementara itu, Shamshun Baharin berkata Pakar akan membantu menyebarluaskan bahaya rasuah serta menyokong segala usaha SPRM, dalam mengekang perbuatan rasuah dan salah guna kuasa di Malaysia.

“Kita akan bantu pegawai SPRM beri pendidikan tentang bahaya rasuah, kerana kita tahu bilangan anggota SPRM untuk melaksanakan aktiviti pencegahan tidak besar,” katanya.

Rasuah antara punca rakyat tidak dapat perkhidmatan yang sepatutnya – Sultan Nazrin

Sebelum ini, media melaporkan gejala rasuah menjadi antara punca rakyat tidak mendapat perkhidmatan, pengagihan kekayaan tidak seimbang dan ketirisan khazanah negara, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Baginda bertitah rasuah juga mengakibatkan pembangunan tidak lestari, pencemaran alam sekitar, membantutkan pertumbuhan ekonomi, menghilangkan minat pelabur asing, meningkatkan kos pentadbiran dan urus niaga serta mendorong berlakunya ketidakstabilan politik.

“Banyak negara dianugerahi rahmat Ilahi dengan pelbagai sumber kekayaan, tetapi kerana rasuah ada yang terbenam dalam kemelut kemunduran dan tertimbus dalam lumpur kemiskinan. Kekayaan negara disalah guna – hasil mahsul lesap.

“Akibatnya, kemunduran terus melanda, kemiskinan terus merebak. Apabila tidak ada kesungguhan untuk membanteras rasuah, perlakuan rasuah akan tumbuh melebar…lalu diterima sebagai norma dan meresap menjadi budaya, akhirnya memusnahkan sesebuah negara bangsa,” titah baginda

Sumber: BERNAMA

BACA: Azam Baki Sahkan Muhyiddin Akan Didakwa Pada Esok

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana