Kelemumur Teruk Sangat Sampai Kepala Berbau? Ini 3 Cara Berkesan Hilangkan Kelemumur
Mesti anda pernah mengalami fasa rambut berkelemumur, tidak kiralah lelaki atau perempuan, selagi ada rambut selagi itulah masalah kelumumur ini tidak pernah hilang.
Bagaimanapun, ia bukan menunjukkan anda seorang yang tidak pandai menjaga kebersihan. Namun, perkara ini akan menjadi salah satu sebab anda kurang yakin untuk berdepan dengan orang lain.
Tidak dinafikan anda telah mencuba pelbagai cara untuk menghilangkan kelemumur termasuklah pertukaran syampu, rawatan kulit kepala dan sebagainya, namun masalah ini sukar untuk dikawal.
Mari kita ikuti perkongsian Hello Doktor yang memang dikhaskan kepada anda yang mengalami masalah ini. Tiga cara yang dikatakan berkesan untuk mengurangkan sekali gus menghilangkan kelemumur di kepala anda akan didedahkan. Semoga bermanfaat!
Masalah kelemumur, hilang keyakinan diri?
Kulit kepala anda ada kelemumur? Sudah banyak cara hilangkan kelemumur teruk yang anda cuba, tetapi ia tidak sembuh-sembuh dan menjadi semakin serius? Baca ini!
Kelemumur boleh menyebabkan sesiapa sahaja rasa rendah diri dan tidak yakin dengan diri sendiri. Ia boleh buatkan anda rasa malu dan segan untuk bertemu dengan orang lain. Bukan itu sahaja, kelemumur juga sukar untuk dirawat.
Selalunya, kelemumur biasa akan berkurangan dengan penjagaan rambut yang betul. Namun, bagaimana pula dengan mereka yang mempunyai kelemumur teruk?
Dalam artikel kali ini, kami akan terangkan mengenai cara hilangkan kelemumur berkuping supaya anda tidak perlu lagi menahan kegatalan kulit kepala!

3 cara hilangkan kelemumur teruk
Fakta tentang kelemumur:
- Kelemumur merupakan sesuatu yang biasa. Ia berlaku kepada hampir 50% populasi.
- Kulit kepala gatal boleh berlaku disebabkan kondisi yang berbeza. Antaranya ialah kelemumur, dermatitis dan psoriasis.
- Syampu khas untuk merawat kelemumur dapat membantu mengurangkan kegatalan.
Selalunya, kelemumur yang tidak serius boleh dirawat menggunakan syampu biasa.
Namun, sekiranya ia tidak hilang, syampu yang lebih kuat dan diformulasi khas untuk kelemumur mungkin dapat membantu.
Di bawah, kami terangkan cara hilangkan kelimumur yang boleh anda cuba:
1. Gunakan syampu yang mempunyai ubat
Ada beberapa jenis syampu berubat yang boleh anda beli di farmasi. Ada juga yang boleh didapati secara preskripsi. Antaranya:
- Syampu yang mengandungi pyrithione zinc: Bahan ini bersifat antibakteria dan antikulat
- Syampu berasaskan tar: Tar dapat memperlahankan pembentukan kelemumur. Walau bagaimanapun, sekiranya anda mempunyai rambut yang berwarna cerah, ia boleh menyebabkan warna rambut luntur
- Syampu yang mengandungi asid salisilik: Produk ini dapat membantu mengurangkan kelemumur dan mengurangkan kegatalan
- Syampu yang mengandungi selenium sulfida: Bahan ini bersifat antikulat, sesuai untuk mereka yang mempunyai masalah kelemumur
- Syampu ketoconazole: Syampu ini dapat mengurangkan kulat penyebab kelemumur yang tinggal pada kulit kepala
- Syampu fluocinolone: Produk ini mengandungi kortikosteroid yang dapat mengawal kegatalan, masalah kelemumur dan iritasi

2. Aplikasikan syampu dengan betul
Selepas membeli syampu yang bersesuaian, anda perlulah urutkannya pada kulit kepala.
Jangan urut dengan kasar. Anda hanya akan membuatkan kulit kepala menjadi semakin gatal!
Biarkan syampu di atas kulit kepala selama 5-10 minit. Kemudian, bilas seperti biasa.
Sekiranya syampu yang anda beli tidak sesuai, cuba cari syampu lain yang berkesan.
Pakar menyarankan agar orang yang mempunyai kelemumur menggunakan 2 jenis syampu berbeza secara bergilir-gilir.
Sebagai contoh, gunakan syampu biasa pada hari Isnin dan Selasa. Kemudian, gunakan syampu kelemumur pada hari Rabu untuk elakkan kulit kepala kering.
BACA JUGA: Abang Ini Ajar Cara Untuk Hilangkan Bau Hapak Aircond Kereta
3. Jumpa doktor untuk ambil ubat yang lebih kuat
Kadangkala, penggunaan syampu semata-mata tidak cukup untuk merawat kelemumur.
Sekiranya cara hilangkan kelemumur yang anda lakukan setiap hari tidak berkesan, cuba jumpa doktor untuk rawatan.
Antara tanda-tanda kelemumur teruk ialah:
- Anda masih mempunyai kelemumur teruk walaupun sudah pakai syampu khas selama sebulan.
- Kulit kepala amat gatal sehingga mengganggu aktiviti harian.
- Kulit kepala memerah atau membengkak.
- Ada ruam atau kawasan kulit yang gatal pada bahagian badan yang lain.
Doktor mungkin akan:
- Membekalkan krim steroid, losyen atau larutan yang boleh anda sapu ke atas kulit kepala
- Anda juga mungkin akan dibekalkan dengan krim antikulat atau ubat yang boleh dimakan secara oral
- Doktor mungkin akan memberikan ubat berasaskan minyak yang boleh anda sapu pada kepala semalaman

Saya sudah cuba macam-macam cara hilangkan kelemumur teruk…
Sekiranya kelemumur di kepala anda tidak hilang-hilang, ia mungkin bukan kelemumur tetapi penyakit lain!
Antara penyakit yang boleh menyebabkan kulit kepala berkuping ialah:
- Ekzema: Satu kondisi yang menyebabkan kulit kepala gatal-gatal dan mengelupas
- Psoriasis: Penyakit yang menyebabkan kulit menjadi merah dan berkuping, termasuk kulit kepala
- Rosacea: Kondisi yang menyebabkan kulit wajah kemerah-merahan, namun ia juga boleh mempengaruhi kulit kepala
Sekiranya kelemumur yang anda alami tidak sembuh, jumpa doktor secepat mungkin.
Walaupun ada banyak cara hilangkan kelemumur, namun bukan semuanya berkesan untuk anda. Justeru, dengan rawatan yang bersesuaian, anda boleh mengatasinya.
Sumber: Hello Doktor