Siakap Keli
pengarah mentega terbang
Gambar: Bernama

Pengarah Mentega Terbang Terima Ugutan, Polis Buka Kertas Siasatan

Pengarah Mentega Terbang Terima Ugutan, Polis Buka Kertas Siasatan

SHAH ALAM- Polis Selangor mengesahkan bahawa pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung perbuatan khianat dan ugutan yang diterima oleh pengarah dan penulis skrip filem Mentega Terbang.

Memetik laporan Sinar Harian, kertas siasatan itu dibuka pada Khamis.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut berdasarkan laporan yang dibuat oleh kedua-dua individu terbabit.

“Laporan dibuat oleh kedua-dua individu terlibat di kawasan Ampang Jaya serta Kajang dan Proses rakam keterangan turut dijalankan.

“Siasatan lanjut akan dijalankan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 507 Kanun Keseksaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Dalam pada itu, tular beberapa keping gambar yang memaparkan nota ugutan. Malaj, kereta milik kedua-dua mangsa juga telah disimbah cat dan asid.

BACA: Mentega Terbang: Serah Pada Finas, SKMM Ambil Tindakan – Fahmi

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menghantar laporan kepada SKMM berikutan filem itu jelas bertentangan dengan akidah dan cara kehidupan umat Islam tempatan.

Lembaga Penapisan Filem (LPF) berkata mereka akan meneliti semua aspek berkaitan filem itu sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan pada minggu lalu berkata LPF mengambil maklum mengenai isu yang berbangkit berhubung filem itu.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah selesai mengambil keterangan penerbit dan enam pelakon berhubung kes tersebut pada Selasa lalu, lapor Bernama.

Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Saaduddin berkata percakapan mereka dirakam kira-kira pukul 1 tengah hari. Ia dijalankan di pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

“Kes masih dalam siasatan pihak USJT dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan kelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Di samping itu, PDRM juga telah merakam percakapan pengarah dan seorang pelakon filem tersebut pada Jumaat lepas.

Ia turut dikendalikan USJT JSJ di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Sumber : Sinar Harian 

Ezzatul Syafiqah