Seramai enam orang saksi telah diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kegagalan memindahkan kutipan hasil kerajaan berjumlah lebih RM230 juta melibatkan My E.G. Sdn. Bhd. dan Zetrix AI Berhad di bawah Kumpulan MYEG.
Isu MyEG, Zetrix AI
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, CP Datuk Rusdi Mohd Isa berkata pihaknya telah menerima satu laporan polis pada 7 Oktober lalu berkaitan perkara tersebut.
Menurutnya, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
“Siasatan dijalankan berhubung dakwaan kegagalan memindahkan kutipan hasil kerajaan yang melibatkan nilai RM230,913,503.55.
“Setakat ini, seramai enam orang saksi telah diambil keterangan bagi membantu siasatan.
“Beberapa individu lain akan turut dipanggil untuk diambil keterangan. Dokumen-dokumen berkaitan telah diterima dan sedang diteliti. Siasatan masih diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Ujarnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited untuk memastikan setiap siasatan dijalankan secara bebas, telus, profesional dan berlandaskan undang-undang.
“Mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sebarang perlakuan jenayah akan diambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“PDRM turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung siasatan yang sedang dijalankan.
“Sebarang kenyataan atau penyebaran maklumat yang tidak berasaskan fakta bukan sahaja boleh mengelirukan masyarakat, malah berpotensi menjejaskan proses siasatan,” katanya lagi.
Sehubungan itu, PDRM turut menyeru orang ramai supaya mendapatkan maklumat hanya daripada saluran rasmi.
Terdahulu, perkhidmatan My E.G Sdn Bhd dan Zetrix AI Berhad di bawah kumpulan MYEG sebagai Ejen Pemungut bagi pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) digantung berkuat kuasa pada 5 Oktober jam 12.01 pagi.
JPJ dalam satu kenyataan berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pematuhan terhadap terma dan syarat perjanjian yang ditetapkan serta kedudukan tanggungjawab yang masih belum dipenuhi atau diselesaikan oleh syarikat berkenaan.

