Siakap Keli
Gambar dari Sinar Harian

Ruang Di Jabatan Farmasi HTJ Dilapor Terbakar

Ruang Di Jabatan Farmasi HTJ Dilapor Terbakar

SEREMBAN- Salah satu ruang di Jabatan Farmasi Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Negeri Sembilan dilaporkan terbakar pada khamis.

Memetik laporan Sinar Harian, suasana panik menyelubungi ketika kejadian tersebut berlaku.

Bagaimanapun, ia tidak menyebabkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.

Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Datuk Harlina Abdul Rashid, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 4.05 petang.

“Pasukan keselamatan hospital dan petugas hospital bertindak pantas membantu mengawal kebakaran sementara menunggu ketibaan pihak bomba.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Jalan Rahang berjaya memadamkan api di lokasi kejadian dan tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa membabitkan kakitangan dilaporkan dalam insiden ini,” katanya.

Tambahnya lagi, siasatan lanjut mengenai punca kebakaran sedang dijalankan oleh JBPM.

Sementara itu, Komander Operasi, Penguasa Bomba Kanan II Hamlan Ishak berkata kejadian itu memusnahkan 20 peratus ruangan di bilik berkenaan, lapor Astro Awani.

“Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan pukul 4.16 petang yang mana kebakaran ini melibatkan sebuah bilik kecil di Jabatan Farmasi HTJ.

“Kira-kira 20 peratus daripada bilik simpanan barang di bahagian farmasi yang berukuran 4 x 20 kaki itu telah terbakar,” katanya ketika dihubungi Astro Awani.

BACA: Masuk Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kesihatan UAI Semakin Baik

Maklumnya lagi, sebanyak dua jentera digerakkan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban.

Susulan itu, api berjaya dikawal pada jam 4.31 petang.

Dalam pada itu, tular satu video berdurasi 1.21 saat yang memaparkan keadaan ketika kebakaran berlaku. Menerusi video itu, kakitangan hospital dilihat berkumpul di luar bangunan.

Terdahulu, HTJ pada 15 Februari lalu berkata akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menyiasat isu membabitkan dakwaan berlaku kecuaian oleh pihak hospital tersebut seperti yang tular di laman Facebook.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaleha Md Noor berkata jawatankuasa berkenaan terdiri daripada pakar dan pegawai perubatan bagi meneliti dakwaan berkenaan, lapor Bernama.

“Kami memandang serius isu ini dan satu pertemuan dengan pengadu telad diadakan bagi mendapatkan gambaran yang lebih terperinci,” katanya.

Sumber: Astro Awani Sinar Harian 

Ezzatul Syafiqah