Siakap Keli
Ahli bina badan terpendek dunia
Gambar: Daily Mail

Ahli Bina Badan Terpendek Dunia Akhirnya Berkahwin, Pilihan Hati Punyai Ketinggian Hampir Sama

Ahli Bina Badan Terpendek Dunia Akhirnya Berkahwin, Pilihan Hati Punyai Ketinggian Hampir Sama

Seorang ahli bina badan terpendek di dunia yang berketinggian 3 kaki 4 inci (102 sentimeter) dilaporkan telah selamat berkahwin dengan pilihan hatinya yang berukuran 4 kaki 2 inci (127 sentimeter), lapor Daily Mail.

Pratik Vittal Mothite, 28, berasal dari Raigad, Maharashtra di Indi tengah. Dia dilahirkan dengan kecacatannya dan bergelut sepanjang hidupnya untuk menyesuaikan diri.

Pada mulanya, Pratik berasa ragu-ragu bahawa dia tidak akan dapat mencari seseorang untuk berkongsi hidup dengannya.

Namun, pada empat tahun yang lalu, dia bertemu dengan Jayaa, 22, selepas keluarga mereka mencari seseorang yang sepadan dengan saiz mereka.

Baca: Bayar RM1 Pun ‘Rider’ Hantar, Ni Cara Nak Dapat Cas ‘Delivery’ Paling Rendah Bila Pesan Makanan

“Saya suka Jayaa ketika saya melihatnya dan saya fikir dia menyukai saya, dia kelihatan kagum dengan fizikal saya tetapi saya tidak belum bersedia,” kata Pratik.

Gambar: Cover Asia Press

“Saya mahu mendapatkan pekerjaan yang baik, bekerja dengan baik sebagai ahli bina badan dan pastikan saya dapat memberinya kehidupan yang baik,” jelas Pratik.

Sejak itu, Pratik mula bekerja keras, berazam dengan mengatakan bahawa ketinggiannya tidak akan menjejaskan hidupnya.

Diiktiraf oleh Guinness Book of Records

Kini, dia telah menjadi terkenal di dunia kerana telah diiktiraf oleh Guinness Book of Records sebagai ‘pembina badan terpendek di dunia’.

Memetik Daily Mail, Pratik telah bertanding dalam lebih 50 pertandingan dan kini bekerja sebagai jurulatih peribadi untuk pembina badan yang baru.

Gambar: Cover Asia Press

Dengan lebih 200 ribu pengikut di Instagram, ahli bina badan itu sering didekati oleh syarikat berjenama besar bagi tujuan penajaan dan kerjasama.

Pada bulan Disember, Pratik merasakan bahawa dia sudah bersedia untuk berkahwin, jadi ibu bapanya mengatur satu lagi pertemuan antara dia dan Jayaa.

Selepas pertemuan itu, kedua-duanya mula menghantar mesej setiap hari sehingga akhirnya ibu bapa mereka bersetuju untuk mengikat tali pertunangan.

“Saya tahu Jayaa adalah orangnya. Bukan sahaja ketinggiannya sama seperti saya, kami banyak ketawa dan serasi bersama,” kata Pratik.

“Ibu bapa saya mencari seseorang yang sesuai untuk saya. Saya tahu saya akan berkahwin tetapi saya berharap saya akan mencintai gadis itu dan dengan Jayaa, ia terasa betul dari awal,” katanya.

Pasangan itu berkahwin pada 13 Mac, dihadiri oleh keluarga dan rakan-rakan serta menari sepanjang malam dengan kedua-dua pengantin itu mengenakan pakaian perkahwinan tradisional Hindu.

Pratik memakai emas, manakala Jayaa pula memakai pakaian dewi berbaju merah, lapor Daily Mail.

Gambar: Cover Asia Press

Sejak kecil, Pratik sering membandingkan ketidakupayaannya dengan kanak-kanak lain seusianya.

Pandai belajar berdikari

Bapanya, Vittal Gajanan Mohite, 50, berkata, “Ketika dia dilahirkan, kami sangat sedih. Mana-mana ibu bapa akan merasakan perkara yang sama, tetapi membesarkannya tidak menjadi masalah.”

“Dia belajar segala-galanya sendiri jadi dia tidak menjadi masalah untuk kami,” kata bapanya.

Manakala ibunya, Sunita Vittal Mohite, 48, mengatakan bahawa dia kerap menjalani pemeriksaan semasa mengandung tetapi tiada siapa yang berkata apa-apa sehingga pemeriksaan terakhirnya pada bulan kesembilan.

“Ibu saya membawa saya ke doktor lain dan mengarahkan doktor memberi suntikan diperut dan membunuh bayi itu,” kata ibu Pratik.

“Apabila saya pulang ke rumah, saya tidak boleh tidur sepanjang malam. Ayah serta bapa mertua saya melarang, jadi kami meneruskan dengan bayi itu,” jelas ibunya.

Semasa Pratik dilahirkan, semua orang gembira kerana jantinanya lelaki tetapi tangan dan kakinya berbeza dan menyebabkan ibunya bimbang tentang masa depan anaknya itu.

Namun begitu. ketika Pratik mencecah usia satu tahun, dia sudah mula boleh duduk dan berjalan. Semasa kecil, Pratik mengatakan bahawa dia tidak dapat bermain dengan rakan-rakannya dan ketika itulah dia menyedari ada sesuatu yang tidak betul.

“Mereka boleh menunggang basikal, berenang dan bermain tetapi saya tidak boleh berbuat apa-apa. Ia membuatkan saya sedih jadi saya cuba hidup seperti orang lain,” katanya.

“Saya berazam untuk melakukan apa yang dilakukan oleh kanak-kanak lain dan meneruskan kehidupan,” katanya.

Pratik masih ingat menjadi satu-satunya individu yang duduk di luar kelas sukan dan menonton budak lelaki bermain kriket.

“Saya seorang budak yang pemalu dan jika saya cuba berlari, mereka akan mentertawakan saya. Budak lelaki pernah mengejek saya tetapi saya mengabaikannya,” katanya.

Mula bina badan ketika belasan tahun

Memetik Daily Mail lagi, keluarganya cuba membantu dan menggalakkannya untuk mengabaikan mereka. Kini Pratik mula bermain kriket dan kemudian badannya semakin kuat.

Ketika berusia belasan tahun, Pratik tinggal bersama bapa saudaranya kerana jarak rumahnya dengan sekolah lebih dekat. Difahamkan, bapa saudaranya pernah menjadi tentera dan sering melakukan senaman di hadapan Pratik.

“Akhirnya, saya mula meniru pakcik saya. Saya menyukainya dan ia membuatkan saya berasa baik, jadi saya menumpukan pada pembinaan badan di gim,” kata Pratik.

Ahli bina badan itu memenangi pertunjukan bina badan pertamanya pada 2016, selepas gim tempatannya menggalakkan dia mengambil bahagian sebagai tetamu dan ia adalah permulaan kerjayanya.

Pratik juga dikatakan mengikuti diet dan rutin senaman yang serius, pergi ke gim pagi dan petang. Kini, Jayaa telah mengambil alih tugas ibu mertuanya dan membantu Pratik dengan diet dan latihannya.

Gambar: Cover Asia Press

Jayaa terpaksa menamatkan persekolahannya ketika berusia 14 tahun kerana ibu bapanya tidak mampu untuk menghantarnya dan duduk di rumah membantu ibunya menguruskan hal rumah.

“Saya kagun dengan Pratik sejak saya bertemu dengannya, dia bertekad dan saya akan melakukan apa sahaja untuk menyokongnya dalam kerjayanya,” kata Jayaa.

Pratik mengimpikan untuk memenangi pingat emas dalam pertandingan antarabangsa Mr World.

Sumber: Daily Mail

Noorliyana Ishak