Siakap Keli
PM Anwar
Kredit BERNAMA

PM Anwar Yakin Kerajaan Perpaduan Terus Kukuh, Kekal

PM Anwar Yakin Kerajaan Perpaduan Terus Kukuh, Kekal

SHAH ALAM, 18 Mac (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan keyakinan bahawa Kerajaan Perpaduan yang diterajuinya akan terus kukuh dan kekal bertahan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Dalam ucapan sulung sebagai perdana menteri pada Kongres Nasional Khas PKR 2023 di sini, Anwar, yang juga Presiden parti berkata keyakinan itu bersandarkan kepada sokongan kukuh parti-parti yang bersama membentuk kerajaan sejak empat bulan lepas.

“Untuk kita mantap sebagai satu kerajaan lima tahun ini, kita perlu kerjasama padu supaya kita tumpu membetulkan kerosakan yang berlaku dan membangunkan negara dan rakyat. Usaha untuk menggugat sedikit sebanyak itu ada, tapi saya yakin Kerajaan Perpaduan akan terus kukuh dan kekal untuk lima tahun.

“Tanggungjawab kita bersama ialah menempatkan semangat perjuangan, menggilap obor reformasi dan jentera parti harus bergerak supaya agenda MADANI ini dapat diterjemahkan secara lebih serius dan bermakna,” katanya.

Kongres yang berlangsung di Stadium Malawati dekat sini dan bertemakan Malaysia MADANI, Pelaksanaan Sebuah Idealisme, turut dihadiri Timbalan Presiden Rafizi Ramli, Setiausaha Agung Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, Naib Presiden Amanah Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan 41 wakil pejabat kedutaan asing.

Sumber: BERNAMA

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka