Siakap Keli
senapang patah kuala krai
Kredit: BERNAMA

Polis Rampas Senapang Patah, Peluru Hidup, Dadah Di Kuala Krai

Polis Rampas Senapang Patah, Peluru Hidup, Dadah Di Kuala Krai

KUALA KRAI, 19 Mac (Bernama)Polis menahan seorang lelaki dipercayai pengedar dadah kerana memiliki selaras senapang patah buatan sendiri, peluru hidup dan 60 biji pil kuda dalam kereta di sekatan jalan raya (SJR) di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Krai, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohamed, berkata dalam kejadian jam 10.30 malam, anggota yang bertugas di SJR menahan kereta Perodua Alza dipandu suspek yang bekerja sebagai tukang rumah, dari arah Pasir Kelang menghala ke tempat kerjanya di Gua Musang.

“Pemeriksaan lanjut dalam kenderaan suspek menemukan selaras senapang patah, 32 butir peluru hidup jenis bore 12 dan 60 biji pil kuda yang dipercayai untuk dijual kepada penagih dadah.

“Selain itu, siasatan awal juga mendapati suspek mengaku senapang patah yang dimilikinya itu adalah buatan sendiri dan menggunakannya untuk memburu binatang di hutan sejak April 2022 sehingga sekarang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Suzaimi berkata suspek turut mengaku membeli peluru hidup melalui kenalannya yang juga warganegara Thailand di sempadan Rantau Panjang-Golok.

“Ujian saringan awal mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Suspek ditahan reman selama seminggu sehingga 24 Mac depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) ADB 1952, Seksyen 15(1)(A) ADB 1952, Seksyen 8 Akta Senjata api (Penalti lebih berat) 1971 dan Seksyen 8(A) Akta Senjata 1960,” katanya.

Dua lelaki ditahan, dadah seberat 451 kg bernilai RM14.9 juta dirampas

Sebelum ini, di Shah Alam sebanyak 451 kilogram (kg) dadah bernilai RM14,9 juta berjaya dirampas dalam sindiket pengedaran dadah di Rawang.

Memetik Sinar Harian, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memberitahu dua suspek iaitu lelaki masing-masing berumur 22 dan 33 tahun berjaya diberkas.

Difahamkan tangkapan itu dibuat oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dua hari lalu.

Tambah beliau, sebanyak 10 guni putih mengandungi 503 bungkusan plastik berwarna keemasan dirampas dalam sebuah kenderaan jenis Nissan Navara.

Pada bungkasan tersebut juga tertera tulisan ‘Freeze-dried Durian’.

“Bungkusan terbabit disyaki mengandungi dadah jenis Methamphetamine seberat kira-kira 451 kilogram.

“Kedua-dua suspek yang ditahan dipercayai berperanan sebagai ‘transporter’ yang membawa dadah dari negara jiran melalui Kelantan ke Selangor,” katanya.

Sumber: BERNAMA

BACA: Lelaki Maut Ditembak, Anjing Peliharaan Tak Sengaja Terpijak Picu Senapang

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana