Siakap Keli
Gambar Hiasan

“Ajak Buat Di Hotel,” Ini Antara ‘Top Redflag’ Premis Kecantikan Kena Elak, No 5 Paling Bahaya

Pernah dengar kan perumpamaan beauty is pain? Sukar untuk diterima tapi mungkin itulah hakikat yang perlu diterima untuk menghadapi pelbagai prosedur hanya semata mahukan kecantikan. Tapi kan, berbaloi ke kesakitan yang dialami sekiranya ada kesan sampingan yang boleh buatkan diri sendiri merana. Mahu cantik, tapi selepas buat rawatan jadi makin teruk.

Mungkin perkara ini berlaku disebabkan terlalu yakin dengan ‘premis’ yang menawarkan rawatan tersebut. Biasalah, bila sebut ada doktor, terus percaya bahawa individu tersebut mampu dan layak untuk buat prosedur kecantikan. Tahu tak yang tak semua doktor ada kelayakan untuk buat rawatan estetik, melainkan mereka yang ada pengesahan dan sijil khusus LCP.

Disebabkan itu, orang ramai tidak boleh mengambil mudah dengan rawatan estetik yang ditawarkan oleh premis kecantikan. Oleh itu, min nak kongsikan beberapa redflag premis kecantikan yang korang perlu elakkan.

Doktor tak guna nama penuh, hanya guna nama panggilan

Bila doktor tak guna nama penuh dan hanya guna nama panggilan, korang perlu berhati-hati kerana dibimbangi sekiranya premis kesihatan berkenaan hanya hendak mendapatkan keuntungan semata-mata.

Premis tersembunyi, bila bayar baru dapat lokasi

Selain gelaran doktor, kedudukan premis juga perlu diambil berat. Sekiranya belum buat bayaran, pihak premis tidak mahu memberitahu lokasi. Jika ini berlaku, korang memang kena siasat terlebih dahulu sebelum buat bayaran.

Janji temu di hotel atau selain premis berdaftar

Korang kena pastikan premis yang nak buat rawatan tu berdaftar. Lagi satu, pastikan premis berkenaan benar-benar wujud dan bukannya buat temu janji atau rawatan di mana-mana hotel.

Testimoni-testimoni menarik

Lagi satu perkara yang korang kena perhatikan adalah testimoni yang melampau atau tak masuk akal. Gunakan logik akal adakah benar testimoni yang dipamerkan ataupun hanya sekadar helah.

Komplikasi atau kesan sampingan dirahsiakan

Kalau ikutkan, tiada sebab untuk merahsiakan komplikasi atau kesan sampingan terhadap pesakit. Jadi, sekiranya ada menyembunyikannya, korang boleh pertimbangkan semula untuk meneruskan rawatan.

Menurut pegawai perubatan dari Sekretariat Amalan Perubatan Estetik, Bahagian Amalan Perubatan KKM, medispa juga tidak boleh menawarkan rawatan invasif, iaitu rawatan yang menembusi kulit seperti laser, botox, filler dan sebagainya.

Korang juga perlu tahu bahawa medispa hanya didaftarkan sebagai premis perniagaan dan bukannya berdaftar dengan KKM sebagai premis jagaan kesihatan. Sekiranya ada mengunjungi medispa, korang masih boleh dapatkan perkhidmatan-perkhidmatan kecantikan, tetapi perlu elakkan diri daripada dapatkan rawatan invasif.

Tak semua doktor layak beri rawatan estetik

Untuk pengetahuan korang juga, hanya doktor yang mempunyai lesen sebagai Aesthetic Medical Practitioner (AMP) sahaja yang boleh menawarkan khidmat estetik. Nak jadi AMP, kena berdaftar di bawah Majlis Perubatan Malaysia (MMC), ada Sijil Amalan Tahunan (APC) serta Letter of Credentialing and Privileging.

Nampak, bukan sebarang doktor boleh menawarkan rawatan estetik apatah lagi individu yang melabelkan dirinya sendiri sebagai doktor tapi tiada kelayakan seperti itu. Bukan itu sahaja, menurut Akta Perubatan 1971, doktor sebenarnya tidak boleh mempromosikan sebagai produk kesihatan atau kosmetik dan ubat-ubatan. Ketika menulis preskripsi ubat pun, doktor tidak boleh menamakan jenama syarikat, sebaliknya hanya tulis jenis ubat tersebut seperti Paracetamol.

Kalau korang masih was-was dengan doktor yang tiada kelayakan sebagai AMP, korang boleh buat semakan di SINI.

Hati-hati konten iklan ubat di media sosial

Bila ternampak iklan-iklan rawatan kecantikan ataupun ubatan di media sosial, korang sepatutnya jangan terus percaya dengan tawaran-tawaran yang diberikan. Seperti yang dikatakan di atas, testimoni-testimoni yang menarik perlu difikirkan terlebih dahulu adakah ianya masuk akal ataupun tidak dengan hasil yang begitu cepat.

Bila ada tawaran perubatan di media sosial, korang juga kena pastikan doktor yang buat rawatan kecantikan perlu ada kelayakan, sebab bila berlaku komplikasi, korang juga yang akan menanggung akibatnya. Lebih teruk, komplikasi daripada rawatan itu tidak mendapat perlindungan insurans. Jangan tidak ada, ada yang hingga tergadai nyawa sendiri demi mahu kecantikan selepas dapatkan rawatan daripada pihak yang tidak berkelayakan dan berdaftar.

Jadi, sekali lagi hendak diingatkan, sebarang kandungan di media sosial mengenai tawaran ataupun testimoni mengenai rawatan kecantikan perlulah diteliti terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan.

*Artikel ini dibawakan oleh The Communications and Multimedia Content Forum of Malaysia (CMCF)

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa