Siakap Keli
Honda model 2023
Gambar: Bernama

Honda Malaysia Rancang Lancar Empat Model Baharu Pada 2023

Honda Malaysia Rancang Lancar Empat Model Baharu Pada 2023

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) — Honda Malaysia merancang untuk melancarkan empat model baharu tahun ini termasuk tiga model serba baharu serta satu model yang diberikan wajah baharu.

Satu daripada model yang bakal diperkenalkan di pasaran Malaysia tidak lama lagi ialah kenderaan utiliti sukan (SUV) kecil pertama Honda yang dirancang dilancarkan pada suku tahun ketiga 2023, kata presiden merangkap ketua pegawai operasinya, Sarly Adle Sarkum.

“Selepas dilancarkan kelak, Honda Malaysia akan menjadi pengeluar kereta Jepun pertama memasuki segmen SUV kecil,” katanya pada satu taklimat media baru-baru ini, sambil menambah syarikat itu menetapkan sasaran jualan terbanyak 80,000 unit dengan 12.3 peratus bahagian pasaran bagi keretanya pada 2023.

SUV kecil itu yang dilengkapi dengan pakej reka bentuk dinamik, teknologi canggih, penggunaan praktikal yang lebih selesa, disasarkan kepada golongan profesional muda dan keluarga yang gemar melakukan aktiviti luar serta mengembara menaiki kereta.

“Honda Malaysia berusaha untuk meningkatkan momentumnya tahun ini menerusi pelancaran model baharu dan aktiviti pemasaran.

“Bagi mengukuhkan lagi identiti teras dan kehadiran jenama dalam industri, kami menumpu untuk memanfaatkan tiga tonggak utama model kami, iaitu, teknologi canggih, penawaran premium dan daya tarikan sporty (bergaya),” katanya.

Teknologi hibrid

Honda Malaysia juga akan memantapkan lagi teknologi hibrid yang diperkenalkannya di pasaran Malaysia 19 tahun lalu.

“Sejak itu, teknologi hibrid telah berkembang pesat bermula dengan Integrated Motor Assist (IMA), diikuti oleh Sport Hybrid intelligent Dual-Clutch Drive (i-DCD), dan kini kami melangkah setapak lagi ke hadapan dengan teknologi kenderaan elektrik hibrid (e:HEV).

“Elektrifikasi (pengelektrikan) adalah trend global dan masa depan mobiliti bagi industri automotif. Oleh itu, Honda juga meningkatkan usaha pembangunan kenderaan elektriknya (EV).

Sarly berkata syarikat itu mahu memastikan keperluan rakyat Malaysia dipenuhi dengan teknologi paling praktikal dan relevan sebelum menerima kenderaan elektrik sepenuhnya.

BACA JUGA: Perodua Lancar Alza Serba Baharu, 3 Varian Pilihan, 5 Warna, Lebih Versatil & Jimat Minyak

Sebagai sebahagian daripada usahanya untuk menambah baik keselesaan pelanggan, Honda Malaysia akan memperkenalkan Pit Stop 2S (Servis dan Alat-Alat Ganti) dan meningkatkan aktiviti selepas jualannya bagi menampung permintaan daripada pelanggan sedia ada dan berpotensi, katanya.

Tahun lepas, Honda Malaysia mencatatkan jualan sebanyak 80,290 unit, yang mana merupakan kenaikan 51 peratus daripada jualan yang direkodkan pada 2021 dan menyumbang 11.1 peratus daripada jumlah keseluruhan jualan industri pada tahun ini.

Sumber: BERNAMA

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?