Siakap Keli
perodua alza baharu
Gambar: Perodua

Perodua Lancar Alza Serba Baharu, 3 Varian Pilihan, 5 Warna, Lebih Versatil & Jimat Minyak

Syarikat pengeluar automotif tempatan, Perodua secara rasmi melancarkan produk terbaharunya, Perodua Alza Serba Baharu yang didatangkan dengan beberapa penambahbaikan ketara.

Presiden selaku Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad berkata, model terkini tersebut mengambil tempoh masa yang panjang untuk dihasilkan bagi memastikan hasilnya menepati kehendak pelanggan.

“Kami mengambil masa dalam mereka bentuk model baharu ini kerana kami benar-benar ingin memahami kehendak para pelanggan kami dan Perodua Alza Serba Baharu disasarkan untuk memenuhi permintaan itu.

“Salah satu daripada permintaan mereka adalah pengalaman pemanduan yang lebih baik, dan untuk itu, kami telah menambah baik ground clearance Perodua Alza Serba Baharu kepada 160 mm yang mana pada penilaian kami, ianya adalah ketinggian terbaik untuk pemanduan Malaysia yang menyenangkan untuk sebuah MPV,” katanya.

Tersedia dalam tiga varian, iaitu X, H dan AV, Perodua Alza Serba Baharu didatangkan dalam lima warna iaitu ivory white, glittering silver, garnet red, elegant black (baharu) dan vintage brown (baharu).

Gambar: video Perodua

Tambahnya, Perodua Alza Serba Baharu itu turut mempunyai ruang yang lebih besar berbanding pendahulunya, terutamanya di barisan ketiga ruangan kenderaan serta unit penyaman udara bahagian belakang.

“Selain itu, potensi kecekapan bahan api Perodua Alza Serba Baharu juga telah dipertingkatkan sehingga 22 kilometer seliter, yang juga antara yang terbaik dalam kelasnya (MPV).

Untuk ruang penyimpanan, Perodua Alza Serba Baharu mempunyai kapasiti bagasi sebanyak 137 liter, manakala 498 liter jika tempat duduk barisan ketiga dilipatkan,” katanya.

Dalam pada itu, ia turut didatangkan dengan suit Perodua Smart Drive Assist (PSDA) yang boleh dibahagikan kepada empat kategori, iaitu bantuan keselamatan termaju (ASA), bantuan pemandu, bantuan tempat letak kereta dan bantuan lampu hadapan.

“Perubahan model penuh ini mewakili usaha terbaik kami setakat ini dari segi penawaran produk kerana ciri yang disertakan adalah yang terbaik dalam kategori harganya,” katanya lagi.

Selain itu, ciri-ciri terkininya termasuklah pandangan panoramik 360 darjah, brek letak kereta elektronik dengan pegangan brek auto, brek cakera belakang dan mod pemanduan baharu iaitu normal, eko dan kuasa.

Gambar: video Perodua

Difahamkan, antara ciri keselamatan standard model baharu tersebut termasuklah enam bag udara, ABS dengan EBD, kawalan kestabilan kenderaan (VSC) dengan bantuan brek dan sensor belakang untuk membantu meletakkan kereta.

“Selain itu, Perodua Alza Serba Baharu menyeragamkan ciri Advanced Safety Assist atau ASA dalam semua varian. Ini termasuk Pre-collision Warning, Pre-Collision Assist Brake (untuk kenderaan dan pejalan kaki), Mis-pedal Operational Control dan Front Departure Alert.

“Semua varian juga mempunyai sistem Lane Departure Warning dan Lane Departure Prevention. Sebagai bonus tambahan, semua varian juga akan dilengkapi dengan fungsi Leaving Home Headlamp Assist dan Hill-start Assist,” tambahnya.

Menurutnya, harga tentatif yang ditawarkan – tanpa insuran dan tidak termasuk cukai jualan – adalah antara RM62,000 sehingga RM75,000 bagi kawasan Malaysia Barat.

Berdasarkan hantaran yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Perodua pagi tadi, tempahan bagi Alza Serba Baharu tersebut difahamkan sudah boleh ditempah melalui pautan https://bit.ly/PeroduaBookOnline.

Sehubungan itu, para pelanggan dialu-alukan untuk mengunjungi mana-mana daripada 188 bilik pameran jualan Perodua di seluruh negara atau layari laman web rasminya untuk maklumat lanjut.

Sumber: Kenyataan media Perodua

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'