Siakap Keli
30 hari 30 resipi khairulaming
Gambar: video Khairulaming

30 Hari 30 Resipi ‘Bersiaran’ 48 Jam Lagi, Khairulaming Kongsi Kisah Sudu Kayu Setia Sejak 6 Tahun Lepas

30 Hari 30 Resipi ‘Bersiaran’ 48 Jam Lagi, Khairulaming Kongsi Kisah Sudu Kayu Setia Sejak 6 Tahun Lepas

Tukang masak selebriti terkenal yang cukup sinonim dengan pepatah ‘Hey whatsup guys’, Khairulaming bakal ‘kembali’ dengan 30 Hari 30 Resipi Ramadan dalam masa 48 jam lagi.

Dalam satu perkongsian terbaharu di laman Twitter miliknya hari ini, Khairulaming mengumumkan rakaman video masakan bagi Ramadan kali ini dibuat di ‘dapur’ yang baharu.

Walaupun kini masak di dapur yang lebih besar, namun kisah panjang beliau dalam dunia masakan selama ini sebenarnya adalah hasil ‘setiakawan’ dengan sebatang sudu kayu.

Berdasarkan perkongsiannya, sudu kayu itulah yang menjadi ‘saksi hidup’ bagaimana beliau menghasilkan video-video masakan bermula enam tahun lalu sehinggalah ke hari ini.

“Korang ingat lagi tak sudu kayu yang aku biasa guna untuk shoot video masak ni? So enam tahun lepas aku shoot video masak puasa kat atas lantai. Dia ok, cuma sakit belakang sikitlah.

“And then aku pindah shoot kat atas dapur, tapi time tu aku takda lampu yang proper, so video masak nampak gelap nampak suram nampak tak cantik,” memetik katanya.

Khairulaming tekad beli lampu ‘proper’ untuk shoot video resipi

Ketika itu, Khairulaming turut cuba membuat rakaman masakan di luar (outdoor) menggunakan pencahayaan asli daripada matahari.

Namun keadaan sekeliling yang panas tidak mengizinkannya untuk terus beraksi menggunakan alternatif sedemikian.

Sehubungan itu beliau tekad membeli lampu khas yang lebih sesuai digunakan untuk penggambaran video masakan dan bermula dari itu, videonya nampak lebih berkualiti.

Difahamkan, latar belakang skrin hijau atau green screen yang digunakan pada asalnya hanyalah pembalut hadiah yang ditampal di dinding sebelum ia ‘dievolusikan’ menggunakan kain hijau sebenar.

Khairulaming lancar Sambal Nyet bawa sudu kayu sekali

Kemudian ketika pelancaran produk terkenalnya, Sambal Nyet Berapi, difahamkan Khairulaming masih menggunakan sudu kayu tersebut untuk beraksi di hadapan lensa.

“Lepas tu kita lancar Sambal Nyet dan aku bawak sudu kayu ni pergi photoshoot sekali. Memang aku tak tinggal mana-mana aku bawak je.

“Dan aku decide untuk pindah ke rumah yang baharu. Dan kat sinilah aku set up satu studio masak yang kecil kat dalam bilik tidur,” katanya.

Jelasnya, di situlah tempat memasak yang biasa warga maya nampak beliau memasak selama setahun yang lepas namun kini difahamkan, studio itu sudah tiada lagi.

“Tapi studio ni dah takda. So aku dah pindah ke rumah yang baharu dan Alhamdulullah kita dah ada studio yang lagi besar lagi selesa sekarang.

“And aku macam tak percaya yang enam tahun lepas kita shoot video masak kat atas lantai tapi sekarang Alhamdulillah kita dah ada tempat yang jauh lagi selesa.

“Jadi aku nak ucapkan terima kasih kepada sudu kayu ni sebab setia dari dulu dan terima kasih jugak kepada korang semua di luar sana.

“So akhir kata, selamat datang ke 30 Hari 30 Resepi tahun keenam,” katanya mengakhiri video itu.

Berdasarkan kisah ringkas ini, bolehlah dikatakan bahawa Khairulaming merupakan seorang insan yang tidak mahu menjadi kacang yang melupakan kulitnya.

Biarpun kini sudah berada di puncak, namun Khairulaming masih memilih untuk kekal setia bersama sudu kayu tersebut selama enam tahun hingga ke hari ini.

BACA JUGA: Maggi Goreng Basah Versi Khairul Aming Pasti Buat Ramai Terliur, Menu ‘Simple’ Pilihan Ramai

Sumber: Twitter Khairulaming

 

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'