Siakap Keli
Warga emas 11 ekor kucing
Kredit The Thaiger

Warga Emas Thailand Tular, “Travel” 300 Kilometer Bawa 11 Ekor Kucing Naik Motosikal

Warga Emas Thailand Tular, “Travel” 300 Kilometer Bawa 11 Ekor Kucing Naik Motosikal

Kisah seorang warga emas yang mengembara sejauh 300 kilometer bersama 11 ekor kucing miliknya menjadi tular di Thailand, lapor The Thaiger.

Lelaki warga emas yang dikenali sebagai ‘Uncle Samsen’, 65 tahun menjadi tular selepas dia mengembara bersama haiwan peliharaannya hanya dengan menaiki motosikal.

Perjalanan itu bermula dari Bangkok hingga ke wilayah Isaan di Nakhon Ratchasima sambil ditemani oleh kucing-kucingnya yang berada disisi motosikalnya.

Laluan itu dilaporkan sejauh 300 kilometer dan mengambil masa hampir lima jam perjalanan.

Penduduk Thailand mengenali ‘Uncle Samsen’ kerana ramai pempengaruh TikTok membuat video mengenainya dan haiwan peliharaannya. Mereka memuji lelaki itu kerana kasih sayang dan kebaikannya terhadap kucing peliharaannya.

‘Uncle Samsen’ menjual azimat dan barang antik di pasar lambak di daerah Pom Prap Sattru Phai di Bangkok. Dia juga sering mengitar semula sampah dan menjualnya kepada kilang kitar semula.

Pencinta kucing juga sering memberinya bantuan seperti makanan kucing, mainan dan barang keperluan lain.

Laman Facebook popular, Kingdom of Tigers, turut mengumpul dana untuk membeli ‘Uncle Samsen’ sebuah motosikal sampingan agar dia boleh pergi ke pasar bersama kucing-kucingnya.

Pada 17 Mac lalu, laman Kingdom of Tigers telah menggesa pengikutnya untuk menderma makanan kucing kepada ‘Uncle Samsen’ ketika dia hendak pergi Korat.

Merindui rumah lama miliknya di Korat

Dalam temu bual bersama Amarin TV, ‘Uncle Samsen’ mendedahkan bahawa dia pergi ke Korat untuk menjual barangannya di pasar lambak tahunan. Dia juga berkata bahawa dia merindui rumahnya yang telah ditinggalnya sejak 26 tahun lalu.

Menurut laman Kingdom of Tiger, ‘Uncle Samsen’ dahulu mempunyai sebuah syarikat pembinaan kecil, namun ia muflis akibat krisis ekonomi 1997.

Disebabkan sering dihina dan menerima aduan daripada jiran, dia akhirnya meninggalkan rumahnya dan berpindah ke Bangkok.

Dalam temu bual itu lagi, dia turut mendedahkan bahawa dia sudah lama meninggalkan rumah dan tidak menghubungi keluarganya.

BACA: Patutnya Kena Bayar RM22.40, Sekali Kat Kaunter Cashier Minta RM8 Ja

Dia tinggal di Bangkok dengan menjual apa sahaja barangan yang ditemuinya supaya mempunyai wang yang cukup untuk membeli makanan untuk dirinya dan kucingnya.

Tambahnya, kesemua kucing miliknya adalah kucing terbiar yang dijumpainya. Dia mengambil, menjaga, memberi mereka nama dan membawanya ke mana-mana sahaja.

Dalam pada itu, ‘Uncle Samsen’ turut berterima kasih kepada semua yang menyokongnya dan kucing-kucingnya. Dia memberitahu bahawa ramai orang memberinya makanan kucing sepanjang perjalanannya.

Dia juga berterima kasih atas sokongan yang diberikan oleh halaman Kingdom of Tiger dan pengikutnya.

Sumber: The Thaiger

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka