Lapangan Terbang Changi, Singapura Dinobat Sebagai Lapangan Terbang Terbaik Dunia 2023
Lapangan Terbang Changi Singapura secara rasminya dinobatkan sebagai Lapangan Terbang Terbaik Dunia pada 2023, untuk tahun ke-12, lapor International Airport Review.
Pengumuman itu dibuat semasa majlis Anugerah Lapangan Terbang Dunia yang diadakan di Ekspo Terminal Penumpang di Amsterdam pada Rabu lalu.
Dalam pada itu, Lapangan Terbang Changi turut memenangi kategori Tempat Makan Terbaik Dunia dan Kemudahan Riadah Terbaik Dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Changi, Lee Seow Hiang berkata pengiktirafan itu memberi galakan hebat kepada pekerja yang telah bersamanya sejak Covid melanda tiga tahun lalu.
“Kami berterima kasih kepada mereka atas dedikasi melayani penumpang Changi dan ketabahan untuk memastikan Singapura sentiasa berhubung dengan dunia,” katanya.
Selain itu, Crowne Plaza Changi juga turut memenangi anugerah untuk Hotel Lapangan Terbang Terbaik Dunia.
Difahamkan ia dikatakan satu pencapaian yang luar biasa kerana telah kedudukan tersebut berjaya dikekalkan selama lapan tahun berturut-turut.
BACA: Ditemui Di Singapura, Lipas Spesies Baru ‘Digelar’ Pokemon Phermosa
Pada tahun 2021 dan 2022, anugerah itu telah dimenangi oleh Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad di Qatar.
Manakala, tempat kedua bagi Lapangan Terbang Terbaik Dunia jatuh kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Doha di Qatar, selain turut memenangi tiga anugerah teratas yang lain.
“Kami berbesar hati untuk mengumpul anugerah dan akan berusaha dalam memberi keselesaan kepada penumpang kami,” kata Engr. Badr Mohammed Al-Meer, Ketua Pegawai Operasi Hamad.

Sementara itu, tempat ketiga peringkat global jatuh kepada Lapangan Terbang Haneda, Tokyo di Jepun.
Difahamkan ia turut berjaya mengekalkan momentum tahun sebelumnya dengan memenangi anugerah seperti Lapangan Terbersih Dunia.
Bagi tempat keempat terbaik dunia pula, kedudukan itu dimiliki oleh Lapangan Terbang Incheon di Seoul, Korea Selatan.
Tidak cukup menjadi keempat terbaik dunia, ia juga turut merangkul beberapa anugerah lain, antaranya Perkhidmatan Kakitangan Terbaik Dunia.
Selain itu, antara pemenang anugerah peringkat global yang lain ialah Lapangan Terbang Shenzen Bao’an di China.
Lapangan Terbang Zurich di Switzerland juga dikatakan mengulangi kejayaannya dengan memenangi anugerah Keselamatan Terbaik Dunia.
Anugerah Lapangan Terbang Terbaik mengikut benua
Dalam pada itu, anugerah tersebut turut dibahagikan mengikut kategori benua di seluruh dunia.
Lapangan Terbang Paris Charles de-Gaulle di Perancis memenangi kategori terbaik Eropah, manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Helsinki, Finland pula terbaik di Eropah Utara.

Dalam pada itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul, Turki dinobat terbaik di Eropah Selatan dan Lapangan Terbang Antarabangsa Bahrain diiktiraf terbaik di Timur Tengah.
Sementara itu, bagi benua Amerika Utara, ia dimenangi oleh Lapangan Terbang Antarabangsa Seattle-Tacoma di US, manakala terbaik di Amerika Selatan pula dirangkul oleh Lapangan Terbang Antarabangsa El Dorado Bogota, Columbia.
Sementara di Australia, lapangan terbang terbaik di benua itu jatuh kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Melbourne.
Anugerah-anugerah lapangan terbang terbaik pilihan lain
Selain itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Quito di Ecuador menerima anugerah Lapangan Terbang Serantau Terbaik di benua Amerika Selatan dan Kakitangan Lapangan Terbang Terbaik, sama seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Cape Town, Afrika Selatan.
Turut sama meraih anugerah Lapangan Terbang Serantau Terbaik Dunia ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Chubu Centrair di Nagoya, Jepun serta Lapangan Terbang Antarabangsa Gold Coast di Australia.

Bagi benua Asia Selatan pula, anugerah yang sama turut dirangkul oleh Lapangan Terbang Antarabangsa Delhi di India serta Lapangan Terbang Antarabangsa Guangzhou Baiyun di China.
Lapangan Terbang Antarabangsa Hyderabad di India turut merangkul anugerah sama, selain anugerah Kakitangan Lapangan Terbang Terbaik di benua Asia Selatan.
Begitu juga di China, Lapangan Terbang Antarabangsa Haikou Meilan memenangi anugerah Lapangan Terbang Serantau Terbaik dan Kakitangan Lapangan Terbang Terbaik di negara itu.
Sumber: International Airport Review