Siakap Keli
buruh binaan maut
Gambar: Sinar Harian

Motosikal Bertembung Treler, Buruh Binaan Dilapor Maut

Motosikal Bertembung Treler, Buruh Binaan Dilapor Maut

GUA MUSANG — Seorang buruh binaan dilaporkan meninggal dunia selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah treler di Jalan Gua Musang-Kuala Krai hari ini.

Memetik Sinar Harian, mangsa yang berumur 47 tahun dipercayai gagal memotong sebuah kereta sebelum bertembung dengan kenderaan berat itu dalam satu kejadian pada pukul 9.40 pagi.

Berikutan itu, mangsa disahkan maut di tempat kejadian.

Menurut Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, hasil siasatan awal mendapati, mangsa dari arah Kuala Terengganu menuju ke Gua Musang.

Bagaimanapun, mangsa disyaki gagal memotong sebuah kereta sewaktu di lokasi kejadian.

“Situasi itu mengakibatkan motosikal mangsa telah bertembung dengan sebuah treler yang datang dari arah bertentangan.

“Treler berkenaan dikatakan telah membrek sejauh 17 meter dan telah cuba mengelak ke kanan. Namun mangsa dipercayai telah melanggar bahagian tayar belakang sebelah kiri kenderaan berat tersebut,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Tambah Choon Foo, mangsa merupakan seorang buruh binaan di tapak pembinaan Lebuhraya Centrel Spine Road (CSR) Sempadan Kelantan-Pahang.

Susulan itu, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat.

“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan maut.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan,” ujarnya lagi.

BACA JUGA: Anak Maut Digilis Treler, Hasrat Sekeluarga Sedondon Hitam Di Pagi Raya Tidak Kesampaian

Terdahulu, seorang murid perempuan berumur sembilan tahun dilaporkan maut dalam satu nahas ngeri di Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang, lapor Bernama.

Difahamkan, mangsa maut akibat digilis sebuah treler sewaktu dalam perjalanan pulang dari sekolah.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Morni Mamat berkata, pada jam 11.25 pagi, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu.

Mangsa bersama seorang wanita berusia 54 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berumur tujuh tahun menaiki kenderaan dua roda itu.

“Wanita yang juga pengasuh kepada kedua-dua kanak-kanak tersebut mengambil mereka dari sekolah dan dalam perjalanan pulang.

“Pengasuh dan kanak-kanak lelaki tersebut masing-masing cedera ringan, manakala kanak-kanak perempuan maut di lokasi kejadian,” ujarnya sewaktu dihubungi Bernama.

Sumber: Sinar Harian 

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?