Siakap Keli
Polis Tahan Individu Edar Dadah
Gambar: PDRM

Polis Tahan 27 Individu Jadikan Empat Unit Rumah Tempat Edar Dadah

Polis Tahan 27 Individu Jadikan Empat Unit Rumah Tempat Edar Dadah

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) — Polis menahan 27 individu disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah yang menjadikan empat unit rumah di sebuah pangsapuri di Jinjang Baru, Sentul, di sini sebagai tempat kegiatan jenayah mereka.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yahaya Othman berkata kesemua lelaki berumur antara 23 dan 40 tahun itu ditahan pukul 5 pagi hingga 10 pagi tadi, dan ada antara mereka cuba melarikan diri dengan memanjat tingkap dan bumbung pangsapuri empat tingkat itu, namun akhirnya berjaya ditahan.

Beliau berkata polis turut merampas dadah jenis methamphetamine seberat 59.44 gram, serta sebuah kereta jenis Perodua Myvi, sebuah motosikal jenis Yamaha Y15, tiga utas gelang tangan, tiga bentuk cincin, seutas rantai bersama loket warna kekuningan dan wang tunai RM603.

BACA JUGA: Polis Tahan Pemuda Bawa 560Kg Daun Ketum

Katanya semua suspek yang didapati positif methamphetamine dan mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah itu dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39(A)(1), Seksyen 12(2), Seksyen 15(1)(a) di bawah akta yang sama serta Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah – Langkah Pencegahan Khas) 1985 dan Bahagian III Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988,” katanya dalam kenyataan malam ini.

“Hasil tangkapan, polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang bergerak aktif di kawasan Sentul sejak enam bulan lepas… Siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengenal pasti ahli sindiket yang terlibat dan sumber bekalan,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?