Siakap Keli
kejutan untuk mak ayah
Gambar: Tiktok @kinnnn_

Tiga Tahun Tahan Rindu, Lelaki Menyamar Jadi “Runner” Buat Kejutan Untuk Mak Ayah

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Tiga Tahun Tahan Rindu, Lelaki Menyamar Jadi “Runner” Buat Kejutan Untuk Mak Ayah

Ketibaan bulan Ramadan tidak lengkap sekirannya tidak dapat berbuka bersama ahli keluarga tercinta. Sebagai ibu dan ayah, pastinya terharu jika anak-anak mereka pulang ke rumah memeriahkan lagi suasana.

Apatah lagi anak mereka yang sudah lama berada di perantauan. Pastinya kehadiran mereka dapat mengisi kekosongan di hati kedua insan tercinta.

Baru-baru tular satu rakaman video yang menjentik hati orang ramai setelah melihat air mata ibu dan ayah ini berguguran. Kedua-dua orang tua itu tidak menyangka anak bongsu mereka pulang ke rumah sewaktu Ramadan membuka tirai.

Menerusi perkongsian video @kinnnn_ di TikTok, memaparkan situasi kepulangannya anak terakhir dari lima adik beradik itu ke pangkuan mereka.

@kinnnn_

Adik dari New Zealand balik senyap2 nak surprise ma abah sempena puasa. Alhamdulillah raya ni complete dah keluarga AA & Ba. #fyp #ramadhan2023 #fypシ

♬ Rahmatun Lil’Alameen – Maher Zain

Pemilik video yang dikenali sebagai Ekin sewaktu dihubungi menjelaskan bahawa adik lelakinya itu, Luqman Hakim, 23 telah melanjutkan pelajaran dalam peringkat Ijazah di University of Otago, New Zealand.

Difahamkan, Luqman tidak pernah pulang ke Malaysia selama tiga tahun.

Tambahnya, adik lelakinya itu telah menamatkan pelajaran pada bulan Disember lalu. Pada awalnya dia menjelaskan kepada orang tua mereka bahawa dia bakal pulang ke tanah air pada bulan Julai nanti.

Suprise Mak Ayah Pulang Dari New Zealand Sempena Ramadan

“Tapi dia (Luqman) ubah rancangan untuk suprise dekat mak abah. Jadi, dia balik la awal,” katanya.

Sewaktu ditanya mengenai idea tersebut, kakak dari lima adik-beradik itu memaklumkan ia merupakan cetusan idea Luqman sendiri.

“Idea ini daripada dia untuk buat surprise. Tapi kami adik-beradik yang buat perancangan. Tambahan lagi, dia anak bongsu dan merupakan anak lelaki tunggal dalam keluarga,” ujarnya lagi.

BACA JUGA: Sebak Mengadu Makanan Tak Berkualiti & Waktu Kerja Terlalu Panjang, Anggota Polis ‘Direhatkan’

Dalam rancangan tersebut, Luqman memberitahu ibu dan ayahnya bahawa dia masih berada di New Zealand dan telah memesan kek untuk mereka.

Bagaimanapun, dia telah berpura-pura menjadi runner untuk menghantar kek tersebut.

“Disebabkan Sabtu kami sekeluarga berkumpul beramai-ramai untuk berbuka puasa bersama-sama. Kami memang rancang dari awal lagi. Kami jadikan dia runner hantar kek, ” jelas Ekin lagi.

Menyamar Jadi “Runner” Buat Kejutan Untuk Mak Ayah

Dalam video berkenaan lakonan Luqman yang pulang ke rumahnya dengan memakai topi keledar di kepala dan sekotak kek sememangnya menjadi.

Ketika itu, ibu dan ayahnya turut berada di sofa ruang tamu rumah untuk menunggu pesanan tersebut.  Bagaimanapun, suasana bertukar sekelip mata apabila lelaki berkenaan melepaskan topi dari kepala.

Kedua-dua orang tua mereka terus mengalirkan air mata setelah melihat sosok lelaki itu sebenarnya merupakan anak lelaki tunggal mereka. Pertemuan tiga beranak itu turut disaksikan oleh ahli keluarga lain yang juga menyambut kepulangan Luqman.

Anak lelaki berusia 23 tahun itu juga sempat merakamkan detik-detik manis tersebut bersama ahli keluarga.

Rata-rata netizen meluahkan rasa sebak melihat ragam keluarga itu. Apatah lagi anak bongsu itu sekian lama tidak menjejakkan kaki ke rumah mereka.

Untuk makluman, video ini mendapat lebih 2.3 juta tontonan dan lebih 240,000 tanda ‘Suka’ serta lebih 6,000 komen pengguna setakat artikel ini ditulis.

Sumber: TikTok @kinnnn_

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?