Siakap Keli
kaki ponteng puasa lari tinggalkan air ketum dan rokok
Kredit: Sinar Harian

Disergah Van Putih, Kaki Ponteng Puasa Cabut Lari Tinggal Air Ketum & Rokok

Disergah Van Putih, Kaki Ponteng Puasa Cabut Lari Tinggal Air Ketum & Rokok

Beberapa individu dipercayai culas ketika menunaikan ibadah puasa lari bertempiaran apabila penguat kuasa sedang menjalankan Ops Ramadan di Kuala Nerang, hari ini.

Ketika insiden tersebut berlaku, mereka sedang melepak di sebuah pondok rehat berhampiran satu chalet terbengkalai di kawasan terbabit.

Menurut Pegawai Agama Daerah Padang Terap, Ahmad Muzzamil Yub, mereka lari bertempiaran ketika melihat sebuah van putih menghampiri pondok itu.

Mereka bertindak sedemikian kerana bimbang diserbu pihak berkuasa dalam sebuah operasi yang dijalankan Pejabat Agama Daerah Padang Terap.

Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati beberapa botol air ketum dan rokok telah ditinggalkan oleh kumpulan kaki ponteng puasa terbabit.

“Ketika pemantauan dilakukan lapan anggota diketuai Ketua Unit Penguat kuasa, Zafri Zainul Abidin, kita turut mengesan rokok masih berasap dipercayai dibuang individu tersebut.

“Kita melakukan pemantauan di banyak tempat sekitar Padang Terap selain pondok rehat itu dan mendapati lebih kurang 13 individu yang bertempiaran lari sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa,” tambahnya lagi.

Pihak berkuasa mengesan helah kaki ponteng puasa bagi mendapatkan makanan pada waktu siang

Selain itu, pihaknya turut mengesan ‘helah’ lain yang digunakan golongan ini bagi mendapatkan makanan ketika hari siang.

Hal ini termasuklah kesanggupan mereka membeli makanan di kedai bukan Muslim pada waktu siang.

Tambah Ahmad Muzzamil, pihaknya mendapati ada beberapa pelanggan membeli bungkusan nasi yang dipercayai diletakkan oleh peniaga Islam di lokasi tertentu.

Antara lokasi yang dipilih adalah seperti kedai bukan Islam dan kedai runcit, kononnya dapat mengaburi mata pihak berkuasa.

kaki ponteng puasa lari tinggalkan air ketum dan rokok
Kredit: Sinar Harian

Sehubungan itu, amaran telah diberikan terhadap individu terlibat kerana perbuatan tersebut dapat mencemarkan imej Islam.

Selain itu, tindakan juga boleh diambil di bawah Seksyen 14 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 terhadap individu yang makan atau minum di khalayak pada bulan Ramadan.

Bukan itu sahaja, mana-mana individu didapati tidak menghormati bulan Ramadan dengan menjual kepada mana-mana orang Islam apa-apa makanan, minuman, rokok dan benda lain seumpamanya untuk dimakan, diminum ataupun dihisap dalam waktu berpuasa boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 14 (a) enakmen sama.

Jelas Ahmad Muzammil, mereka boleh dijatuhkan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali bagi dua kesalahan itu.

Beliau berharap penganut agama Islam, khususnya di daerah Padang Terap dapat membantu pihak berkuasa dalam menjalankan tugas. Segala tingkah laku mencurigakan boleh dimaklumkan melalui imam kariah atau Pejabat Agama untuk tindakan lanjut.

BACA: Didakwa Halang Tugas MBPJ Tangkap Anjing Liar, Warga Emas Bakal Dituduh Di Mahkamah

Sumber: Sinar Harian

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma