Siakap Keli
jurulatih indonesia berkurung
Gambar: IG Shin Tae Yong/ Tribun News

Kecewa Tak Jadi Tuan Rumah, Jurulatih Indonesia Berkurung Dalam Bilik

Kecewa Tak Jadi Tuan Rumah, Jurulatih Indonesia Berkurung Dalam Bilik

JAKARTA — Jurulatih Bawah 20 tahun (B-20) Indonesia, Shin Tae-Yong dilaporkan hanya berkurung di dalam bilik selepas mengetahui mengenai pembatalan Indonesia sebagai tuan rumah Piala Dunia B-20 2023 oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Memetik TribunNews, pengendali pasukan itu jelas kecewa dengan keputusan yang diambil oleh badan bola sepak dunia tersebut. Tambahan lagi, Tae-yong telah mempersiapkan latihan bersama pasukan kebangsaan sejak tiga tahun lalu hingga ke saat terakhir.

Difahamkan, kejohanan tersebut sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 20 Mei 2023.

Sewaktu ditemu bual oleh PSSI Waketum Zainudin di Hotel Sultan, Senayan, Jakarta hari ini, beliau kelihatan buntu.

Jelas Tae-yong, dia tidak mahu menunjukkan rasa sakit hati di hadapan anak-anak buahnya.

Jurulatih B-20 Indonesia Kurung Diri

“Ya malam tadi, saya hanya berada di dalam bilik kerana saya melihat sebahagian besar pemain sangat kecewa dengan makluman tersebut. Oleh itu, saya tidak mahu menunjukkan perasaan saya di hadapan pemain.

“Saya sangat kecewa dan letih. Saya pasti para pemain juga merasakan perkara yang sama. Lebih-lebih lagi kami sudah membuat persiapan selama tiga tahun enam bulan untuk kejohanan ini,” kata jurulatih skuad Garuda tersebut.

BACA JUGA: FIFA Singkir Indonesia Sebagai Tuan Rumah Piala Dunia B-20

Menurut Tae-yong, Piala Dunia B-20 bakal mempengaruhi kemajuan bola sepak Indonesia.

“Saya juga pernah menjadi jurulatih bagi Skuad B-20 Korea pada 2017.  Jadi, saya tahu betapa besarnya impak kehadiran Piala Dunia terhadap negara itu.

“Tentu akan ada perkembangan luar biasa terutamanya bagi bola sepak Indonesia. Namun, setelah dibatalkan, harapan pemain seakan pudar.

“Tiada apa lagi yang boleh saya katakan,” jelasnya.

Pemain Luah Rasa Kecewa

Rata-rata pemain B-20 Indonesia menyuarakan rasa kesal mereka di media sosial masing-masing.

Antara pemain yang turut terkesan termasuklah, pemain tengah Persib Bandung, Robi Darwis dan penjaga gol Indonesia, Aditya Arya. Kedua-dua mereka menzahirkan kekecewaan masing-masing di akaun Instagram milik mereka.

Pembatalan Indonesia sebagai tuan rumah Piala Dunia U-20 2023

Semalam, FIFA dalam satu kenyataan rasmi mengumumkan bahawa Indonesia telah disingkirkan selaku tuan rumah bagi kejohanan Piala Dunia B-20.

Keputusan itu dibuat selepas hasil pertemuan antara Ketua Umum Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir dan Presiden FIFA, Gianni Infantino.

Lebih teruk lagi, PSSI juga berpotensi dikenakan penggantungan yang akan dibincangkan kelak.

Sumber: TribunNews

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?