Siakap Keli
jari hancur mercun bola
Kredit Sinar Harian

“Tak Sangka Jadi Begini,” Lelaki Terpaksa Tanggung Derita Jari Hancur Akibat Mercun Bola

“Tak Sangka Jadi Begini,” Lelaki Terpaksa Tanggung Derita Jari Hancur Akibat Mercun Bola

Empat jari tangan kiri seorang lelaki hancur selepas mercun bola yang digunakan untuk halau anjing liar meletup dalam kejadian yang berlaku di Pokok Sena semalam, lapor Sinar Harian.

Mangsa dikatakan telah mencucuh mercun bola tersebut untuk menghalau kedatangan anjing liar yang mengganggu kambing peliharaannya. Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 10 malam berhampiran rumah mangsa di Kampung Paya Besar.

Mangsa yang berusia 34 tahun berkata bahawa mercun itu meletup terlebih dahulu kerana dia tidak sempat untuk melemparkannya ke arah sasaran.

“Berikutan letupan itu, saya lihat tangan saya sudah nampak tulang putih manakala empat jari saya hancur, selain ada cedera sikit di perut.

“Di kawasan rumah, memang banyak anjing liar dan sebelum ini pernah makan kambing saya antara tujuh hingga lapan ekor,” katanya kepada pemberita pada Khamis.

Disebabkan kejadian itu, dia terpaksa membaling mercun bola untuk menakutkan dan menghalau anjir liar tersebut yang kerap mengganggu kambingnya.

“Namun, tidak sangka terjadi begini dan saya dibawa untuk mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB),” katanya.

Dua jari terpaksa dipotong

Tambahnya, dua daripada jarinya terpaksa dipotong manakala dua lagi telah kudung akibat daripada kejadian berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir telah mengesahkan kejadian tersebut. Kejadian itu dipercayai telah berlaku pada Rabu lalu.

Bagaimanapun, Ahmad Shukri memaklumkan bahawa sehingga setakat ini tiada laporan polis dibuat oleh mangsa berkenaan kejadian terbabit.

BACA: Kata Nak Tengok Je, 5 Punca Ramai Tak Nak Keluar Dari Tempat Ni, Normal Kalau Suami Kena Sidai

Terdahulu, empat maut, manakala 23 yang lain termasuk bayi empat bulan cedera dalam kejadian letupan mercun di Dusun Tegalrejo, Desa Karangbendo, Kabupaten Blitar, Indonesia.

Ketua Polis Daerah Blitar, AKBP Argowiyono berkata bahawa kesemua mangsa yang cedera kini sedang dirawat di Hospital Srengat.

“Ada bayi berusia empat bulan yang masih dirawat di Hospital Srengat,” kata Argo, pada Isnin lalu.

Manakala jumlah mangsa yang terkorban pula ialah empat orang daripada keluarga yang sama. Berdasarkan maklumat daripada polis sebelum ini, salah seorang mangsa yang terkorban dikenal pasti dengan nama Darman.

Sumber: Sinar Harian

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka