Siakap Keli
4 maut letupan mercun
Kredit CNN Indonesia

4 Maut, 23 Termasuk Bayi 4 Bulan Cedera Dalam Kejadian Letupan Mercun

4 Maut, 23 Termasuk Bayi 4 Bulan Cedera Dalam Kejadian Letupan Mercun

Empat maut, manakala 23 yang lain termasuk bayi empat bulan cedera dalam kejadian letupan mercun di Dusun Tegalrejo, Desa Karangbendo, Kabupaten Blitar, Indonesia, lapor CNN Indonesia.

Ketua Polis Daerah Blitar, AKBP Argowiyono berkata bahawa kesemua mangsa yang cedera kini sedang dirawat di Hospital Srengat.

“Ada bayi berusia empat bulan yang masih dirawat di Hospital Srengat,” kata Argo, pada Isnin lalu.

Manakala jumlah mangsa yang terkorban pula ialah empat orang daripada keluarga yang sama. Berdasarkan maklumat daripada polis sebelum ini, salah seorang mangsa yang terkorban dikenal pasti dengan nama Darman.

Baca: Terkenal Sebagai Kampung Jungkook & Jimin BTS, Rupanya Ini Yang Buat Ramai Tak Senang Duduk Bila Sebut Busan

Mangsa juga ditemui dalam keadaan lengkap dan tidak mengalami kecederaan yang parah.

Tiga lagi mangsa yang dilaporkan sebagai anak dan anak saudara Darman dikenal pasti melalui keadaan dan saiz mayat yang ditemui di sekitar lokasi kejadian letupan.

“Akibat letupan itu, empat sekeluarga telah terkorban,” kata Argo lagi.

Menurut Argo lagi, setakat ini polis telah mendengar keterangan daripada 10 orang saksi yang melihat dan mengetahui tentang kejadian letupan tersebut. Polis juga masih lagi menjalankan siasatan mereka bagi mengetahui punca kejadian tersebut.

Sementara itu, jumlah rumah yang musnah akibat letupan itu dikatakan mencecah sehingga 25 buah rumah.

“Kita masih meneruskan siasatan bagi mendedahkan dengan pasti punca letupan. Siasatan juga digabungkan dengan hasil jenayah saintifik daripada hasil TKP,” terang Argo.

Dalam laporan yang terkini, Pasukan Pengurusan Bahan Letupan (Jihandak) dan Makmal Forensik (Labfor) Polda Jawa Timur menemui puntung rokok berhampiran lokasi letupan berkenaan.

Polis turut mengesyaki bahawa letupan itu kemungkinan berpunca daripada mangsa merokok sambil membuat mercun.

“Kerana mereka tidak profesional. Jadi tidak selamat untuk membuat kerja tersebut sambil merokok. Api rokok telah menyambar serbuk hitam yang digunakan untuk membuat mercun lalu terjadi letupan yang besar,” kata Argo lagi selepas mendapat penemuan terbaru.

Di sekitar lokasi letupan, polis turut menemui tiga bekas yang mengandungi bahan letupan. Dandim 0808 Blitar, Lt Kol Inf Dwi Sapto berkata terdapat tiga bahan yang sebabkan letupan itu berlaku.

Tiga bahan tersebut ialah serbuk hitam (serbuk bedil) yang dicampur dengan serbuk sulfur dan gandum.

“Apa yang berlaku di sini adalah letupan yang pantas. Disyaki mereka sedang membuat bunga api. Daya letupan boleh didengar sehingga radius 10 km dari lokasi letupan berlaku,” kata Dwi Sapto.

Sumber: CNN Indonesia, CNN

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka