Siakap Keli
al-hilal messi rm 1.92 bilion
Gambar: AFP

Al-Hilal Bida Messi Secara Rasmi, Tawar Gaji Lebih RM 1.92 Bilion Setahun

Al-Hilal Bida Messi Secara Rasmi, Tawar Gaji Lebih RM 1.92 Bilion Setahun

Wartawan bola sepak terkemuka, Fabrizio Romano menerusi satu ciapan mengesahkan kelab Liga Pro Saudi, Al-Hilal telah mengemukan bidaan rasmi kepada Lionel Messi.

Menurut wartawan tersebut, tawaran berkenaan merupakan salah satu daripada tiga pilihan yang ada buat bintang bola sepak dunia itu mengenai masa depannya.

Menerusi bidaan berkenaan, Al-Hilal dilapor menawarkan amaun gaji yang amat lumayan kepada Messi. Kelab itu dikatakan sanggup membayar pemenang tujuh kali Ballon d’Or itu lebih daripada 400 juta Euro atau lebih RM 1.92 bilion setahun.

Messi ada tiga pilihan dalam tangan

Setakat ini, tiada laporan sama ada Messi bakal menerima tawaran tersebut. Namun menurut Fabrizio, Messi ketika ini masih mengutamakan peluang untuk bermain di Eropah berbanding berpindah ke benua lain.

Dalam pada itu, Messi difahamkan masih belum menutup sepenuhnya peluang untuk menyambung kontrak bersama kelab semasanya, PSG.

Messi dikatakan mahu menilai terlebih dahulu perancangan PSG berkenaan projek bola sepaknya sebelum membuat keputusan untuk menyambung kontrak.

Selain itu, bekas kelabnya di La Liga, Barcelona juga dikatakan sangat berminat untuk membawa pulang Juara Piala Dunia itu kembali beraksi di bumi Sepanyol.

 

Bagaimanapun, Barcelona dilapor masih belum membuat bidaan secara rasmi terhadap Messi setakat ini. Situasi semasa dikatakan sangat terbuka buat masa ini memandangkan tiada apa-apa keputusan diumumkan, baik oleh Messi sendiri ataupun daripada ejenya.

Al-Hilal tawar RM 1.92 bilion, Messi bakal jadi pemain bola dengan gaji tertinggi dalam sejarah

Terdahulu, pesaing terdekat Messi, Cristiano Ronaldo mengambil keputusan untuk berhijrah ke Liga Pro Saudi musim ini. Menerusi tawaran yang dibuat oleh Al-Nassr, Ronaldo menerima gaji sebanyak 200 juta Euro (RM 964 juta) setahun.

Sejak berpindah ke kelab tersebut, Ronaldo menampilkan aksi cemerlang dan sudah pun menjaringkan 10 gol dalam sembilan perlawanan.

Sekiranya Messi menerima tawaran dibuat oleh Al-Hilal, maka Messi bakal menjadi pemain bola sepak yang menerima gaji paling tinggi dalam sejarah. Malah, rekod berkenaan dijangka sukar untuk dipecahkan oleh mana-mana bintang bola sepak selepas ini.

Al-Hilal merupakan sebuah kelab yang kaya-raya dan disokong oleh syarikat milik kerajaan Arab Saudi.

BACA: Penguatkuasaan Cukai Cecair Vape Bermula Hari Ini

Sumber: Fabrizon Romano, MARCA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.