Bapa Bunuh Anak Kerana Dimarahi Habiskan Kari Ayam
Seorang anak dipercayai maut selepas dipukul menggunakan objek kayu oleh bapanya sendiri hanya disebabkan kari ayam dalam kejadian di Karnataka, India pada Selasa.
Lapor NDTV, insiden yang berlaku di bandar Sullia itu berpunca apabila mangsa, 32, memarahi bapanya kerana tidak dapat merasai hidangan yang dimasak oleh dirinya sendiri.
Menurut sumber, kari ayam yang disediakan di rumah itu telah dimakan oleh bapanya ketika dia pulang ke rumah.
Melihat tindakan bapanya yang menghabiskan kari ayam tersebut, mangsa kemudiannya beremosi dan bertindak untuk memulakan pertengkaran.
Berang dengan pertengkaran itu, bapa terbabit kemudian memukul mangsa dengan kayu sehingga ia mengakibatkan kematiannya.
Mangsa yang telah dikenal pasti sebagai Shivaram terbunuh semasa kejadian tersebut.
Susulan itu, anggota polis bergegas ke tempat kejadian menahan tertuduh.
Mangsa yang maut di tempat kejadian dilapor meninggalkan seorang isteri dan dua anaknya.
BACA: Bapa Ditahan Pukul, Ugut Bunuh Anak Perempuan
Jiran bunuh kanak-kanak 5 tahun kerana tak tahan bapa pasang muzik kuat

Sementara itu di Indonesia, seorang jiran lelaki tekad menculik dan membunuh anak jiran yang berusia lima tahun sebelum membuangnya di kawasan semak, lapor Detik.com.
Difahamkan, mayat kanak-kanak itu ditemui tanpa sebelah kaki di kawasan kebun oleh penduduk di Sulawesi Utara, Indonesia pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Sulawesi Utara Inspektor Setyo berkata menurut penduduk di daerah itu mayat ditemukan pada 12 tengah hari.
“Mayat kanak-kanak itu sudah ditemukan pada Khamis pukul 12 tengahari,” katanya ketika memberi maklumat mengenai kejadian ngeri itu.
Setyo menegaskan, mayat mangsa kini berada di hospital dan akan dibedah untuk siasatan lanjut.
“Mangsa dibawa ke Hospital Bhayangkara untuk dibedah siasat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Setyo mengesahkan pihaknya juga telah menahan suspek yang berusia 42 tahun di Sulawesi Tengah pada Rabu lalu.
Apabila ditanya mengenai kaki kiri mangsa, Ketua Polis Kotamobagu, Dasveri Andi berkata suspek mengaku tidak melakukan apa-apa terhadap kaki mangsa.
“Andaian kami mungkin dimakan haiwan kerana mayat kanak-kanak itu dibuang di ladang yang terbiar dan terdapat banyak haiwan liar.
“Hasil pemeriksaan terhadap pelaku, dia menjelaskan tidak memotong atau melakukan sesuatu kepada kaki kiri mangsa,” katanya.
Dasveri menjelaskan bahawa tulang paha di kaki kiri mangsa masih ada namun, daging kaki dilaporkan telah tiada.
Polis masih menunggu keputusan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kehilangan kaki mangsa.
Sumber: NDTV