Siakap Keli
Dokumen sulit Amerika
Kredit Sinar Harian

Dokumen Sulit Amerika Syarikat Dibocorkan Di Media Sosial

Dokumen Sulit Amerika Syarikat Dibocorkan Di Media Sosial

Sejumlah dokumen sulit yang mengandungi perincian rahsia keselamatan Amerika Syarikat dari Ukraine ke Timur Tengah hingga China bertebaran di media sosial pada Jumaat lalu, lapor New York Times.

Penyebaran dokumen sulit itu telah mendatangkan kebimbangan Pentagon dan kekacauan kepada pentadbiran Biden.

Penganalisis berkata, skala kebocoran dipercayai melebihi daripada 100 dokumen telah diperolehi, bersama-sama dengan sensitiviti dokumen itu sendiri.

Seorang pegawai perisikan kanan menggelar kebocoran itu sebagai ‘mimpi ngeri untuk Five Eyes’, di mana ia merujuk kepada Amerika Syarikat, Britain, Australia, New Zealand dan Kanada. Negara yang dipanggil Five Eyes ini berkongsi maklumat sulit secara bersama.

Dokumen terbaru yang ditemui di Twitter dan laman web lain pada Jumaat lalu berlaku sehari selepas pegawai kanan pentadbiran Biden menyatakan terdapat kebocoran dokumen sulit.

Dokumen itu dikatakan berkenaan dengan rancangan perang rahsia Ukraine, termasuk penilaian membimbangkan terhadap keupayaan pertahanan udara Ukraine yang goyah.

Jabatan Kehakiman berkata ia telah membuka siasatan terhadap kebocoran itu dan sedang berkomunikasi dengan Jabatan Pertahanan.

Mick Mulroy, bekas pegawai kanan Pentagon berkata, kebocoran dokumen sulit itu merupakan “pelanggaran penting dalam keselamatan”. Kebocoran itu juga mungkin boleh menghalang perancangan ketenteraan Ukraine.

“Memandangkan kebanyakan daripada dokumen adalah gambar, nampaknya ia adalah kebocoran yang disengajakan. Yang dilakukan oleh seseorang untuk merosakkan usaha Ukraine, AS dan NATO,” kata Mick.

Seorang penganalisis membayangkan apa yang telah muncul setakat ini sebagai ‘puncak gunung ais’.

Awal Jumaat, pegawai kanan keselamatan negara yang berurusan dengan kebocoran awal berkata bahawa kebimbangan baru telah timbul.

Menjelang petang Jumaat lalu, segalanya terungkap mengenai senarai dokumen yang telah dibocorkan. Kebocoran dokumen yang bertebaran di Twitter dan di Telegram merupakan maklumat yang sangat sulit.

Salah satu dokumen yang muncul di 4chan adalah merupakan peta yang menunjukkan status perang di bandar Bakhmut, timur Ukraine. Tempat di mana berlakunya pertempuran sengit selama berbulan-bulan.

Dokumen yang bertebaran nampaknya merupakan bahan yang sangat sulit mengenai rancangan perang Ukraine.

Penganalisis keselamatan yang telah menyemak dokumen yang dimuatkan ke laman media sosial berkata, kebocoran itu termasuk maklumat sensitif mengenai China. Termasuk makumat ketenteraan Indo-Pasifik, Timur Tengah dan keganasan.

BACA: “Berhabis Beli Baju Sekolah, Terus ‘Standby’ Modal Raya Pula,” Ni Cara Nak Kurangkan Kos Persiapan Raya Sampai 85%

Pentagon berkata dalam satu kenyataan pada hari Khamis bahawa Jabatan Pertahanan sedang meneliti perkara itu.

Pegawai di beberapa agensi keselamatan negara sedang berusaha untuk mencari kebocoran dan potensi yang berkemungkinan boleh berlaku.

Dokumen mengenai tentera Ukraine muncul sebagai gambar carta penghantaran senjata yang dijangkakan, kekuatan tentera dan batalion serta beberapa rancangan lain.

Setakat ini, Pegawai Pentagon mengakui bahawa ia adalah dokumen Jabatan Pertahanan yang sah. Tetapi salinan tersebut dipercayai telah diubah di bahagian tertentu daripada format asalnya.

Sumber: New York Times

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka