Siakap Keli
basikal lajak kerani wanita
Kredit: BERNAMA

Kes Basikal Lajak: Mahkamah Rayuan Bebaskan Kerani Wanita Daripada Tuduhan Memandu Melulu

Kes Basikal Lajak: Mahkamah Rayuan Bebaskan Kerani Wanita Daripada Tuduhan Memandu Melulu

PUTRAJAYA, 11 April (Bernama) — Mahkamah Rayuan hari ini membebaskan dan melepaskan kerani wanita, Sam Ke Ting daripada tuduhan memandu secara melulu yang mengorbankan lapan remaja penunggang basikal lajak pada 2017.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azman Abdulah, dalam keputusan sebulat suara, membenarkan rayuan Sam untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi kesalahan itu.

Hadhariah berkata sabitan Sam kerana memandu secara melulu tidak boleh bertahan kerana pertuduhan yang dikenakan terhadapnya ada kekurangan.

Hakim itu berkata terdapat penggandaan kesalahan dalam pertuduhan itu iaitu melakukan pemanduan secara melulu dan memandu secara berbahaya.

Beliau berkata Seksyen 163 Kanun Tatacara Jenayah memperuntukkan bahawa pertuduhan mesti mempunyai satu kesalahan.

“Kamu bebas sekarang,” kata Hadhariah kepada Sam yang berdiri di tempat tertuduh.

Hakim itu berkata mahkamah bersimpati dengan keluarga lapan mangsa yang meninggal dunia dalam kemalangan itu tetapi keputusan sesuatu kes haruslah dibuat mengikut undang-undang dan mengikut keterangan yang ada di mahkamah.

Sementara itu di luar mahkamah, Sam memohon maaf kepada ibu bapa lapan remaja yang maut dalam kemalangan itu dan berkata dia tidak berniat menyebabkan kemalangan tersebut.

BACA: Kes Basikal Lajak: Kerani Wanita Dibebaskan Dengan Jaminan Sementara Rayuan Didengar

Dia berkata dia tahu permohonan maafnya tidak akan membawa kembali remaja itu dan tidak dapat mengubat duka serta memberi ketenangan kepada ibu bapa mereka.

“Saya akan membawa perasaan (bersalah) ini sehingga ke kubur,” katanya kepada pemberita selepas prosiding mahkamah.

Pada 18 Nov 2019, Mahkamah Majistret Johor Bahru membebaskan Sam tanpa mengarahkannya membela diri atas pertuduhan memandu secara melulu dan menyebabkan kematian remaja itu di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, Johor pada 3.20 pagi pada 18 Feb 2017 .

Pada 18 Feb 2021, hakim Mahkamah Tinggi Shahnaz Sulaiman membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan menyerahkan semula kes itu ke Mahkamah Majistret untuk Sam membela diri atas pertuduhan memandu secara melulu.

Pada 10 Okt 2021, Mahkamah Majistret membebaskan dan melepaskan Sam pada akhir kes pembelaan. Pihak pendakwaan kemudian merayu ke Mahkamah Tinggi.

Pada 13 April tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mensabitkan Sam terhadap kesalahan memandu secara melulu serta menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000. Dia kemudian memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

Lapan remaja yang maut dalam kejadian itu ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

Sumber: BERNAMA

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana