Siakap Keli
Wanita OKU maut kebakaran
Gambar: Sinar Harian

Wanita OKU Dilapor Maut Dalam Kebakaran Rumah

Wanita OKU Dilapor Maut Dalam Kebakaran Rumah

BUKIT MERTAJAM — Dalam satu insiden kebakaran di sebuah rumah, seorang wanita Orang Kurang Upaya (OKU) maut selepas disyaki terhidu asap tebal, lapor Sinar Harian.

Kejadian itu dilaporkan berlaku di sebuah rumah di Kampung Alma pada jam 5 petang hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fazlee Mohamad berkata, mangsa berumur 43 tahun dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas katil dalam sebuah bilik.

Tambahnya, pegawai perubatan yang turut berada di lokasi kejadian mengesahkan wanita terbabit meninggal dunia.

“Mangsa yang menghadapi kecacatan mental itu berjaya dibawa keluar ke tempat selamat. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan selepas pemeriksaan dijalankan.

“Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya sewaktu dihubungi hari ini.

Pada pukul 5.08 petang tadi, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan dan tiba 12 minit kemudian.

Maklum Fazlee, dianggarkan 40 peratus rumah tersebut musnah dijilat api. Ia melibatkan rumah (kelas B) dengan anggaran keluasan 90X30 kaki persegi.

BACA JUGA: Empat Kanak-Kanak Maut Dalam Kebakaran Rumah Di Muar

“Kebakaran dapat dikawal pada jam 5.31 petang dan api berjaya dipadamkan pada jam 6.26 petang.

“Kita membuat ‘size up‘ memakai pakaian peralatan pelindung diri (PPE) lengkap ketika melakukan kerja-kerja pemadaman dan pengawalan api.

“Kerja-kerja ‘overhaul‘ dijalankan dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.48 malam. Kes diserahkan kepada Bahagian Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya.

Difahamkan anggota dan pegawai BBP Bandar Perda dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kota Permai, Cross Street dan Juru turut terlibat membantu kerja pemadaman kebakaran itu.

“Kami turut mendapat bantuan daripada agensi lain iaitu Tenaga Nasional Berhad, polis dan Kementerian Kesihatan,” katanya.

Kanak-Kanak Perempuan Rentung Di George Town

Semalam, seorang kanak-kanak perempuan dilaporkan rentung dalam satu kejadian kebakaran membabitkan dua buah rumah di Kampung Pisang, Jalan Paya Terubong, lapor Bernama.

Mangsa berusia tujuh tahun maut dalam tragedi itu manakala neneknya mengalami lecur di tangan dan dilaporkan stabil.

Sumber: Sinar Harian

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?