Siakap Keli
China Kematian Selsema Burung H3N8
Gambar: AFP

China Catat Kematian Pertama Akibat Selesema Burung H3N8

China Catat Kematian Pertama Akibat Selesema Burung H3N8

Seorang wanita di China dilapor menjadi kes kematian pertama melibatkan jangkitan H3N8.

Memetik laporan CNBC, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengesahkan kematian tersebut berkata, H3N8 adalah sejenis selesema burung yang jarang kepada manusia. Malah, strain berkenaan juga didapati tidak merebak antara manusia.

Wanita berusia 56 tahun dari wilayah selatan Guangdong itu adalah individu ketiga yang diketahui dijangkiti subjenis selesema burung H3N8, kata WHO dalam satu kenyataan lewat Selasa.

Ketiga-tiga kes jangkitan dilaporkan di China dengan dua kes pertama dilaporkan tahun lepas.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Wilayah Guangdong melaporkan jangkitan ketiga lewat bulan lalu tetapi tidak memberikan butiran lanjut tentang kematian wanita itu.

Bagaimanapun menurut WHO, wanita berkenaan mempunyai sejarah masalah kesihatan dan terdedah kepada industri penternakan ayam.

WHO juga berkata sampel yang dikumpulkan dari pasar basah yang dilawati wanita itu sebelum jatuh sakit adalah positif influenza A(H3). Agensi itu percaya ia mungkin punca dimana mangsa dijangkiti selsema burung.

Setakat ini, tiada kontak wanita tersebut yang dikesan turut dijangkiti selesema burung.

Jangkitan sporadik selesema burung dalam kalangan orang awam adalah biasa di China, dimana virus selsema burung sentiasa beredar dalam populasi besar ayam dan burung liar.

Jarang berlaku kepada manusia, tetapi biasa dalam populasi burung

Walaupun jarang menjangkiti manusia, H3N8 adalah biasa berlaku dalam populasi burung. Ia juga boleh menjangkiti mamalia lain.

”Berdasarkan data yang ada, virus ini didapati tidak berupaya untuk merebak dengan mudah antara manusia. Jadi, risiko penyebaran di peringkat kebangsaan, serantau dan global dianggap masih rendah,” kata WHO lagi.

Bagaimanapun, pemantauan berterusan ke atas semua jenis virus selesema burung perlu dilakukan kerana keupayaannya untuk berevolusi dan menjadi pandemik.

Terdahulu, dunia secara keseluruhan berdepan tempoh sukar apabila terpaksa bertarung dengan pandemik Covid-19 yang meragut jutaan nyawa di secara global.

Antara negara yang terjejas teruk dengan virus tersebut adalah Amerika Syarikat yang mencatatkan 103,802,702 kes dengan 1,123,836 kematian.

BACA: Jenama Kesukaan ‘Mak-mak’, Tupperware Beri Amaran Mungkin Bangkrap

Sumber: CNBC, WHO

Mohd Raimi Ismail

peace on earth