Siakap Keli

KPKM Teruskan Tradisi Agihan Bubur Lambuk

PUTRAJAYA, 12 APRIL 2023 –Tradisi memasak dan mengagihkan sebanyak 1,500 pek bubur lambuk untuk dikongsi bersama-sama dengan warga Kementerian diteruskan menerusi penganjuran Program Agihan Bubur Lambuk dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu, di Wisma Tani hari ini.

Menurutnya, bubur lambuk merupakan hidangan simbolik dan menjadi kegemaran masyarakat di Malaysia khususnya pada bulan Ramadan selain ianya antara juadah yang sihat dan seimbang untuk berbuka puasa.

Justeru, inisiatif dan kerjasama bersepadu antara Kelab Kebajikan dan Sukan KPKM atau lebih dikenali sebagai Kelab Tani bersama-sama PUSPANITA Cawangan KPKM dan pihak Agrobank telah melaksanakan Program Agihan Bubur Lambuk bagi diagihkan kepada warga Kementerian.

program agihan bubur lambuk kpkm

Program tahunan KPKM ini juga merupakan wadah untuk memupuk semangat kebersamaan dalam satu pasukan selain dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga Kementerian. Pelaksanaan aktiviti seperti ini adalah selaras dengan konsep Malaysia MADANI yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri merangkumi kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, nilai hormat, keyakinan dan ihsan dalam membentuk masyarakat yang progresif ke arah membina masa hadapan yang MADANI buat negara.

Menurut Mohamad, bersempena dengan sambutan perayaan Aidilfitri yang tidak lama lagi Kementeriannya turut memberi jaminan bekalan makanan adalah mencukupi terutamanya bagi lapan (8) komoditi utama iaitu telur, ayam, daging, ikan, sayur, buah, beras dan susu segar.

Selain itu, beliau turut berkongsi berita gembira mengenai pemberian Bantuan Kewangan Khas Aidifitri (BKKA) bernilai RM200 secara one-off kepada nelayan dan pesawah yang akan memanfaatkan seramai 38,500 orang nelayan dan 240,000 orang pesawah di seluruh negara. Bantuan telahpun disalurkan bermula Isnin lalu kepada semua penerima yang layak secara berperingkat.

program agihan bubur lambuk kpkm

Sebagai tambahan, BERNAS telah turut menyalurkan sumbangan sebanyak RM20 juta lagi kepada KPKM dan akan diagihkan kepada pesawah di empat (4) buah negeri iaitu Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Selangor. Pemberian bantuan khas sebanyak RM250 kepada setiap pesawah ini dijangka akan memanfaatkan 81,153 orang pesawah berdaftar di negeri berkenaan.

Bagi pesawah yang mempunyai maklumat lengkap Kementerian akan menyelesaikan pembayaran sebelum Jumaat ini, manakala bagi negeri lain akan menerima bantuan khas ini pada peringkat seterusnya setelah bakinya disalurkan kelak.

Kementerian berharap Bantuan Khas Kewangan Aidifitri ini akan dapat membantu serta meringankan beban golongan sasar khususnya pesawah dan nelayan dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri selain menjaga kebajikan golongan berkenaan.

program agihan bubur lambuk kpkm

Dengan adanya bantuan ini menunjukkan bahawa pihak Kementerian melalui Jabatan dan Agensi seperti Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) sentiasa peka kepada kebajikan golongan sasar KPKM.

Amira

Love yourself.