Dalam dunia perniagaan yang semakin kompetitif, usahawan perlu sentiasa mencari peluang untuk mengembangkan produk, meningkatkan kualiti pengeluaran dan menarik lebih ramai pelanggan. Namun, usaha untuk menaik taraf perniagaan bukanlah sesuatu yang mudah terutama apabila melibatkan kos pembelian peralatan, pembungkusan dan penambahbaikan premis.
Bagi membantu usahawan industri makanan dan asas tani yang mempunyai jualan kasar tahunan RM300,000 hingga RM10 juta, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyediakan Program Geran Pemadanan High Impact Product (HIP). Pemohon juga perlu mempunyai pengesahan status PMKS daripada SME Corporation Malaysia.
Menerusi inisiatif ini, usahawan yang memenuhi syarat berpeluang mendapatkan geran pemadanan sehingga RM400,000 bagi menampung kos pembangunan produk, reka bentuk pembungkusan, peningkatan kapasiti pengeluaran dan kerja menaik taraf premis perniagaan.
Selain itu, terdapat juga bantuan khusus bagi mendapatkan khidmat perundingan pensijilan dengan pembiayaan sehingga RM40,000. Kemudahan ini boleh dimanfaatkan oleh usahawan yang ingin meningkatkan standard produk dan menyediakan perniagaan untuk menembusi pasaran yang lebih luas.
Jadi, apakah syarat kelayakan, jumlah bantuan dan cara memohon geran HIP ini? Berikut merupakan perincian yang perlu diketahui oleh usahawan yang berminat.
Apa itu Program Geran Pemadanan High Impact Product (HIP)?
Program Geran Pemadanan High Impact Product (HIP) merupakan inisiatif kerajaan yang diselaraskan oleh Bahagian Industri Makanan dan Asas Tani, KPKM bersama jabatan serta agensi pelaksana di bawah kementerian berkenaan.
Secara umumnya, program ini diwujudkan untuk membantu usahawan industri makanan dan asas tani meningkatkan keupayaan perniagaan melalui penambahbaikan produk, kemudahan pengeluaran serta premis operasi.
Pelaksanaan program ini bertujuan membantu usahawan meningkatkan pendapatan melalui penghasilan produk baharu dan kepelbagaian variasi produk.
Selain itu, inisiatif ini turut memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti produk, pengukuhan daya saing perniagaan serta pembukaan peluang pasaran yang lebih luas menerusi aktiviti pemasaran dan promosi.
Usaha ini juga diharap dapat menggalakkan penghasilan produk bernilai tinggi serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Siapa yang layak memohon Geran HIP?
Program ini menyasarkan usahawan PMKS yang menjalankan perniagaan dalam sektor makanan dan bukan makanan berasaskan pertanian, ternakan atau perikanan.
Bagaimanapun, bukan semua kategori perniagaan boleh memohon kerana terdapat had jualan tahunan yang perlu dipenuhi.
Berdasarkan garis panduan pelaksanaan HIP bertarikh 1 Januari 2026 yang dipautkan pada portal KPKM yang dikemas kini pada 19 Februari 2026, kumpulan sasaran program ini ialah:
Usahawan industri makanan dan asas tani.
Perusahaan yang mempunyai nilai jualan kasar tahunan antara RM300,000 hingga RM10 juta.
Usahawan yang mempunyai status PMKS yang disahkan oleh SME Corporation Malaysia.
Antara contoh produk yang berpotensi termasuk makanan dan minuman, produk herba, rempah-ratus, madu serta produk bukan makanan yang menggunakan hasil atau sisa tanaman, ternakan dan perikanan sebagai bahan utama.
Berapa jumlah Geran HIP yang ditawarkan?
Salah satu perkara yang menarik mengenai program ini ialah jumlah bantuan yang disediakan boleh mencapai ratusan ribu ringgit, bergantung pada nilai jualan kasar tahunan sesebuah perusahaan.
Geran ini menggunakan konsep pembiayaan padanan, iaitu kerajaan menanggung sebahagian kos projek manakala usahawan perlu menyediakan baki perbelanjaan.
Berikut merupakan kadar bantuan yang ditetapkan:
Nilai jualan kasar tahunan | Jumlah maksimum geran |
|---|---|
RM300,000 hingga RM5 juta | RM200,000 |
Lebih RM5 juta hingga RM10 juta | RM400,000 |
Bagi geran pemadanan biasa, pembiayaan adalah pada kadar 50:50. Kerajaan membiayai 50 peratus kos projek yang diluluskan, tertakluk kepada had geran mengikut jualan tahunan. Usahawan menanggung baki kos, termasuk amaun yang melebihi had sumbangan kerajaan.
Sebagai contoh, sekiranya kos projek yang diluluskan berjumlah RM100,000, kerajaan akan menanggung RM50,000 dan usahawan perlu membayar baki RM50,000.
Bagi skop perundingan pensijilan, kerajaan menyediakan pembiayaan sehingga 100 peratus dengan had maksimum RM40,000 bagi setiap permohonan.
Kemudahan ini dapat membantu usahawan mendapatkan khidmat perunding bagi memenuhi keperluan pensijilan produk atau premis perniagaan.
Apakah skop bantuan yang disediakan?
Geran HIP bukan bantuan tunai untuk kegunaan umum atau perbelanjaan harian perniagaan. Sebaliknya, pembiayaan diberikan bagi projek tertentu yang boleh meningkatkan keupayaan dan mutu pengeluaran perusahaan.
Terdapat lima skop utama yang boleh dipertimbangkan iaitu:
i. Kajian pembangunan kualiti produk
Usahawan boleh mendapatkan bantuan bagi menjalankan kajian berkaitan kandungan bahan, keselamatan makanan, analisis nutrisi, mikrobiologi serta jangka hayat produk.
Kajian seperti ini penting untuk memastikan produk yang dihasilkan mempunyai kualiti lebih baik, selamat digunakan dan memenuhi keperluan pasaran.
ii. Reka bentuk pembungkusan dan pelabelan
Pembungkusan yang menarik dan label yang bersesuaian memainkan peranan penting dalam meningkatkan daya tarikan sesuatu produk.
Menerusi geran ini, usahawan boleh mendapatkan bantuan untuk menghasilkan reka bentuk pembungkusan baharu atau memperbaiki reka bentuk sedia ada. Kos berkaitan acuan dan cetakan pertama turut termasuk dalam skop yang ditetapkan.
iii. Peningkatan kapasiti, keselamatan dan kualiti pengeluaran
Usahawan yang ingin meningkatkan jumlah pengeluaran boleh memanfaatkan bantuan ini untuk mendapatkan mesin serta peralatan bersesuaian.
Pembelian peralatan yang diluluskan termasuk kos penghantaran, pemasangan dan pengujian bagi membantu melancarkan operasi pengeluaran.
iv. Penambahbaikan premis perniagaan
Bagi memastikan persekitaran pengeluaran lebih teratur dan memenuhi keperluan pensijilan, bantuan turut disediakan untuk kerja penambahbaikan premis sedia ada.
Skop ini meliputi ruang pemprosesan hingga penyimpanan produk siap, termasuk pengubahsuaian bangunan, susun atur, perparitan dan kumbahan. Bagi tanah sewaan atau pajakan, kontraknya perlu sekurang-kurangnya lima tahun.
v. Perundingan pensijilan
Usahawan juga boleh mendapatkan khidmat syarikat perunding bagi membantu proses mendapatkan pengiktirafan pensijilan produk atau premis.
Antara pensijilan dan standard yang berkaitan termasuk:
Pensijilan Halal.
Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI).
Good Manufacturing Practice (GMP).
Hazard Analysis and Critical Control Point (HACCP).
SME Competitiveness for Enhancement (SCORE).
Usahawan boleh memohon satu atau beberapa skop bantuan secara serentak, tertakluk kepada syarat dan kelulusan pihak berkenaan.
Apakah syarat kelayakan permohonan?
Selain memenuhi had jualan tahunan yang ditetapkan, pemohon juga perlu memenuhi beberapa kriteria berkaitan pendaftaran dan operasi perniagaan.
Antara syarat kelayakan yang perlu diberi perhatian ialah:
Perniagaan diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016 [Akta 777] atau didaftarkan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 [Akta 197].
Persatuan nelayan yang berdaftar di bawah Akta Persatuan Nelayan 1971 [Akta 44].
Pertubuhan peladang yang berdaftar di bawah Akta Pertubuhan Peladang 1973 [Akta 109].
Koperasi yang berdaftar di bawah Akta Koperasi 1993 [Akta 503].
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832].
Mempunyai lesen perniagaan yang sah.
Mempunyai premis atau ruang perniagaan dengan lesen premis yang sah daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Selain itu, terdapat beberapa ketetapan tambahan dalam garis panduan pelaksanaan yang perlu diketahui oleh pemohon.
Antaranya, nilai jualan tahunan perlu dibuktikan melalui penyata akaun atau penyata kewangan yang telah diaudit oleh juruaudit bebas bagi dua tahun terkini.
Usahawan perlu berdaftar dan dibimbing oleh jabatan atau agensi di bawah KPKM. Keutamaan pencalonan diberikan antaranya kepada usahawan yang menunjukkan prestasi perniagaan baik sekurang-kurangnya dua tahun.
Premis perniagaan pula perlu berasingan daripada bangunan kediaman. Perniagaan yang beroperasi secara home-based serta syarikat yang hanya menghasilkan produk menggunakan kaedah Original Equipment Manufacturer (OEM) tanpa mengeluarkan produk sendiri tidak layak dipertimbangkan.
Pemohon juga perlu mempunyai akaun bank perniagaan dengan Agrobank.
Bagaimana cara memohon Geran HIP?
Bagi usahawan yang memenuhi kriteria ditetapkan, permohonan boleh dibuat melalui jabatan atau agensi pelaksana di bawah KPKM.
Borang permohonan boleh diperoleh melalui laman sesawang KPKM atau agensi yang berkaitan dengan bidang perniagaan masing-masing.
Antara jabatan dan agensi yang terlibat ialah:
Jabatan Pertanian Malaysia (DOA).
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).
Jabatan Perikanan Malaysia (DOF).
Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).
Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).
Pejabat Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA).
Jabatan Pertanian Sabah dan Jabatan Pertanian Sarawak.
Secara ringkasnya, berikut merupakan langkah yang perlu dilakukan:
Dapatkan borang permohonan daripada jabatan atau agensi pelaksana yang berkaitan.
Lengkapkan borang permohonan berserta dokumen sokongan yang diperlukan.
Sediakan profil syarikat dan pelan perniagaan mengikut format yang ditetapkan.
Serahkan permohonan lengkap kepada jabatan atau agensi pelaksana untuk penilaian.
Permohonan yang diterima akan melalui proses semakan kelayakan dan penilaian teknikal sebelum dibawa ke peringkat jawatankuasa kelulusan geran.
Tempoh permohonan adalah sepanjang tahun.
Kesimpulannya, Program Geran Pemadanan HIP merupakan antara peluang yang boleh dimanfaatkan oleh usahawan industri makanan dan asas tani untuk memperkukuh operasi perniagaan.
Dengan adanya bantuan bagi pembangunan produk, pembelian peralatan, penambahbaikan premis dan urusan pensijilan, usahawan berpeluang meningkatkan mutu pengeluaran serta meluaskan potensi pasaran produk masing-masing.


