Ramai Bengang, Kereta Parkir Di Bahu Jalan Jadi Punca Bas MRT Cyberjaya Tersangkut
Tular hari ini sebuah video yang menunjukkan bas pengantara MRT tersangkut ketika ingin mengambil penumpang di Stesen MRT Cyberjaya City Centre.
Menerusi klip video berkenaan, kejadian berkenaan dilapor berpunca akibat laluan bas berkenaan terhalang kerana beberapa kenderaan orang awam dipakir di bahu jalan tersebut.
Pada awal rakaman , dapat didengar perakam menzahirkan rasa kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang mementingkan diri sendiri serta menyusahkan orang lain.
Perakam kemudian menunjukkan situasi yang berlaku apabila kenderaan diparkir sesuka hati pada bahu jalan di kedua-dua bahagian sisi jalan.
Ia sekaligus hampir menutup laluan hingga menyebabkan pemandu bas terpaksa lebih berhati-hati dalam mengemudi bas yang dipandunya.


Melihat kepada situasi tersebut, pemandu bas mungkin tidak mahu kenderaan yang diparkir di tempat tidak sepatutnya itu mengalami kerosakan sekiranya mereka tidak berhati-hati.
“Orang parking kiri kanan jalan dekat MRT Cyberjaya City Centre. Tak pasal-pasal bas perantara MRT ni sangkut, lepas tu bas lambat dari schedule.”
“Kesian orang lambat balik rumah untuk berbuka puasa nanti”
Menurut pemilik video, pemilik kenderaan yang meletakkan kenderaan di luar kawasan parkir itu mungkin ingin mengelak daripada membayar bayaran parkir.
Ini kerana, tinjauan pada ruangan parkir yang disediakan di stesen MRT berkenaan masih banyak yang kosong.
Untuk makluman, harga tiket parkir bagi pengguna MRT bernilai RM 4.30 sekali masuk manakala RM 11.00 pula untuk kadar bermalam.
Berbeza pula dengan bukan pengguna MRT, mereka perlu membayar RM 3.30 pada jam pertama dan RM 1.10 pada jam berikutnya. Kadar bermalam pula sama seperti yang ditetapkan pada pengguna MRT (RM11).
Menurut laman sesawang MRT, stesen itu memiliki 228 unit tempat letak kereta serta 50 unit tempat letak motosikal.
Video berdurasi 49 saat itu telah meraih sebanyak 139.3k jumlah tontonan di Twitter dan ciapan tersebut diulangkicau sebanyak 2981 kali.
BACA: Lebih 50,000 Mohon Fasiliti Sokongan Akaun Dua KWSP
Sumber: @Twt_Cyberjaya via Twitter