Sembilan Motosikal, Empat Skuter Elektrik Musnah Dalam Kebakaran Di Suria KLCC
KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) — Sembilan motosikal dan empat skuter elektrik musnah dalam kebakaran di hadapan pusat beli-belah Suria KLCC, petang ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata dalam kejadian pada 3.45 petang itu, seramai 15 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Tun Razak dan Keramat telah dikerahkan ke tempat kejadian.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, kita mendapati terdapat insiden kebakaran 13 buah motosikal dan empat buah skuter elektrik.
“Sembilan motosikal dan empat skuter elektrik terbakar sepenuhnya manakala empat motosikal yang lain, terbakar antara tiga hingga 20 peratus,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, api dapat dikawal sepenuhnya pada 4.04 petang dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan selain tiada mangsa terlibat.
BACA: Bersuamikan Anak Patung, Wanita Dakwa Sedang Hamil ‘Anak’ Kedua
Sumber: Bernama