Siakap Keli
cuaca panas jeli
Kredit: Bernama

Terasa Bahang, Cuaca Panas Di Jeli Dijangka Cecah Sehingga 40 Darjah Celcius

Terasa Bahang, Cuaca Panas Di Jeli Dijangka Cecah Sehingga 40 Darjah Celcius

Cuaca panas di daerah Jeli, Kelantan dijangka mencatatkan suhu harian sehingga 40 darjah Celsius, iaitu gelombang haba tahap dua, tiga hari berturut-turut bermula Jumaat.

Perkara berkenaan dimaklumkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melalui satu hantaran di Facebook sebentar tadi.

Tahap dua gelombang haba itu boleh mencapai suhu harian maksimun diantara 37 hingga 40 darjah celcius, untuk tiga hari berturut-turut.

Selain itu, sebanyak 15 kawasan lain di Semenanjung pula merekodkan cuaca panas tahap 1 berjaga-jaga.

Menurut kenyataan itu, amaran tahap satu berjaga-jaga ini membabitkan Perlis, Sik, Hulu Perak, Kinta, Batang Padang, Raub, Bentong, Maran, Lipis, Jerantut. Selain itu amaran yang sama turut melibatkan kawasan Jempol, Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai dan Kuala Terengganu.

Tahap satu berjaga-jaga ini boleh mencapai suhu harian maksimum diantara 35 hingga 37 darjah celcius untuk tiga hari berturut-turut.

“Semua kawasan di Sabah dan Sarawak dalam pemantauan,” tulis MetMalaysia pada hantarannya di Facebook pada 4.15 petang.

Beberapa kawasan diberikan amaran Tahap 1

Sebelum ini, MetMalaysia mengeluarkan amaran berjaga-jaga tahap satu di beberapa kawasan pada Rabu lepas.

Antara kawasan tersebut termasuklah, Kubang Pasu, Sik, Lipis, Jerantut, Bentong dan Jempol dengan suhu maksimum harian mencecah 35 hingga 37 darjah Celcius selama tiga hari berturut-turut.

Memetik kenyataan Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah , fenomena ini disebabkan pemanasan permukaan bumi akibat sinaran matahari.

Pada masa yang sama, fenomena ini turut disebabkan taburan hujan yang kurang di kawasan Semenanjung Malaysia.

MetMalaysia mengeluarkan amaran cuaca secara berkala menerusi laman facebooknya setiap hari. Selain amaran cuaca panas, agensi cuaca itu juga turut mengeluarkan amaran-amaran lain seperti amaran hujan lebat/ribut petir, angin kencang dan bencana-bencana lain.

Orang ramai digalakkan untuk sentiasa mengikuti laman facebook rasmi MetMalaysia bagi mendapatkan kemaskini cuaca dari semasa ke semasa.

Laman facebook rasmi MetMalaysia boleh dirujuk di sini: Jabatan Meteorologi Malaysia

BACA: Jangan Jadikan Tarikh Aidilfitri Bahan Gurauan Di Media Sosial

Sumber: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia)

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma