Palsukan Wasiat Ibu Libatkan Harta RM 218 Juta, Usahawan Asal Malaysia Dipenjara Di UK
Seorang ahli perniagaan yang didakwa memalsukan wasiat ibunya disabitkan bersalah dan dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun setengah di UK.
Difahamkan, tertuduh (71) berbuat demikian dalam usahanya untuk mewarisi saham ladang kelapa sawit milik keluarganya yang bernilai £40 juta (RM 218.92 juta).
Tertuduh telah dijatuhkan hukuman penjara di Mahkamah Southwark Crown Court pada Khamis lalu, selepas pendakwaan diusahakan oleh anak buahnya sendiri.
Pada 2011, Patel didakwa menggunakan dokumen palsu untuk membuat tuntutan di Mahkamah Tinggi terhadap hak milik estet keluarganya.
Palsukan wasiat ibu, usahawan Malaysia dipenjara di UK
Ahli perniagaan tersebut berbuat demikian selepas mendiang ibunya meninggalkan semua hartanya kepada abangnya.
Harta waris tersebut termasuk satu per tiga saham dalam aset keluarganya, yang memiliki ladang kelapa sawit dengan keluasan kira-kira 20,000 ekar tanah di Malaysia.
Susulan tuntutannya yang gagal di Seychelles, tertuduh mendakwa wasiat 2005 telah ditandatangani ibunya dan disaksikan di UK.
Kandungan ‘wasiat’ baharu itu menggantikan dokumen asli yang ditulis pada 1986, sekaligus menjadikannya pewaris tunggal harta tersebut.
Walau bagaimanapun, para hakim mendapati dokumen terbabit merupakan dokumen palsu dan menyerahkan harta tersebut kepada abangnya semula.
Kesan daripada tindakan membuat wasiat palsu ibu
Kemudian, tertuduh dipenjarakan selama setahun kerana menghina mahkamah pada Disember 2017.
Dia turut dipenjarakan selama lima tahun setengah selepas didakwa anak lelaki kepada abangnya yang menetap di Australia baru-baru ini.
Selain itu, tertuduh turut disingkirkan daripada jawatan pengarah selama sepuluh tahun, selepas didapati bersalah dalam beberapa pertuduhan.
Pertuduhan tersebut termasuklah penipuan, pemalsuan, penyelewengan atas nama keadilan serta melanggar lafaz angkat sumpah antara 2013 sehingga 2015.
“Perkara ini bukan sahaja memberikan kesan terhadap keluarga kamu.
“Kamu juga kehilangan reputasi, status, keupayaan untuk menjalankan perniagaan serta menguruskan kekayaan dan sumber pendapatan kamu,” kata hakim, Marc Dight.
Tertuduh merupakan salah seorang daripada empat beradik yang terlibat dalam perusahaan keluarganya. Perniagaan yang dijalankan keluarganya berdiri di seluruh dunia termasuklah England, Malaysia, Australia dan Singapura.
BACA: Jangan Jadikan Tarikh Aidilfitri Bahan Gurauan Di Media Sosial
Sumber: Daily Mail