Siakap Keli
Hukum Isteri Bayarkan Zakat Fitrah

Apa Hukum Isteri Bayarkan Zakat Fitrah Untuk Suami Yang Tak Bekerja? Ini Penjelasan Mufti Selangor

Apa Hukum Isteri Bayarkan Zakat Fitrah Untuk Suami Yang Tak Bekerja? Ini Penjelasan Mufti Selangor

Zaman sekarang ni, ramai wanita sanggup bekerja demi menyokong kewangan keluarga dek kerana kos sara hidup yang semakin tinggi. Tak kurang juga ada isteri yang mempunyai pendapatan lebih tinggi daripada suami ataupun menjadi penyedia keperluan asas dalam keluarga apabila suami tidak bekerja ataupun mempunyai hutang yang tinggi.

Soalnya, bolehkah wanita seperti ini membayar zakat fitrah buat sang suami? Untuk menjawab persoalan tersebut, Mufti Selangor ada berkongsikan berkenaan penjelasannya. Bagi mengetahui dengan lebih lanjut, ikuti jawapannya seperti berikut:

Kewajipan membayar zakat fitrah isteri dan anak-anak adalah terletak kepada suami. Seandainya suami tidak berkemampuan, maka isteri dan anak-anak tidak diwajibkan membayar zakat fitrah walaupun isteri berkemampuan. Tidak menjadi kewajipan kepada isteri untuk membayar zakat fitrah bagi dirinya mahupun bagi suaminya sekiranya suami tidak berkemampuan. Tidak sah bagi isteri membayar sendiri zakat fitrahnya melainkan dengan keizinan suami. Tanpa keizinan suami, wang yang dikeluarkan oleh isteri dianggap sebagai sedekah biasa dan bukan zakat fitrah. Walau bagaimanapun, diharuskan kepada isteri yang berkemampuan untuk bersedekah atau menghadiahkan wang kepada suami agar suaminya mampu untuk membayar zakat diri, isteri dan anak-anaknya.

Zakat fitrah ini sebenarnya adalah sedekah yang wajib dikeluarkan oleh semua umat Islam yang cukup syaratnya. Ianya wajib dikeluarkan selepas berbuka untuk beraya dan selesainya Ramadan. Zakat fitrah ini adalah bertujuan untuk memberi makanan kepada orang miskin dan mencukupkan keperluan serta permintaannya pada Hari Raya 1 Syawal (Aidilfitri).

Dalam mengeluarkan zakat fitrah ini, perlu diingat bahawa terdapat waktu yang telah ditetapkan mengikut hukum harus, wajib, makruh, afdal, makruh dan haram untuk membayarnya. 

Waktu Harus

Waktu yang tergolong dalam hukum Harus membayar zakat fitrah bermula ketika masuk tarikh pertama sehingga berakhir bulan Ramadan. Zakat fitrah boleh dilaksanakan sejurus sahaja masuk malam pertama bulan tersebut.

Waktu Wajib

Waktu yang wajib untuk membayar zakat fitrah pula adalah pada hari terakhir bulan Ramadan. Umat Islam perlu membayar zakat fitrah ini sebelum terbenamnya matahari pada hari terakhir Ramadan.

Waktu Afdal

Untuk waktu afdal pula, umat Islam boleh membayarnya dalam tempoh di antara pagi raya dan sebelum solat sunat Aidilfitri dilaksanakan. Pada ketika ini, hukum membayar zakat adalah sunat.

Waktu Makruh

Hukum Makruh membayar zakat ini jatuh apabila anda membayarnya sejurus selesai solat sunat Aidilfitri. Masih lagi akan diterima dan tidak akan berdosa.

Waktu Haram

Bagi waktu yang jatuh haram hukumnya untuk membayar zakat fitrah adalah sejurus tamatnya tanggal Syawal yang pertama dan secara khususnya apabila matahari terbenam selepas masuknya azan Maghrib.

Akan tetapi, dengan arus pemodenan zaman, umat Islam kini telah dipermudahkan dengan pembayaran zakat fitrah yang boleh dibuat secara online. Gunakan FPX di laman web Lembaga Zakat Selangor atau aplikasi ZakatSelangor yang kini boleh dibuat dihujung jari sahaja. Untuk FPX, terdapat banyak payment gateaway macam GrabPay, TnG, eWallet, Visa dan lain-lain lagi.

Ataupun, bayar online di Aplikasi ZakatSelangor. Jika anda menggunakan saluran ini, anda akan dapat track history zakat anda tu. Bukan sahaja zakat fitrah, tapi zakat harta yang lain juga boleh dibayar di sini.

Antara zakat harta yang boleh dibayar di Aplikasi ZakatSelangor ini adalah zakat pendapatan, zakat perniagaan, zakat wang simpanan, zakat saham, zakat KWSP, zakat emas, zakat perak dan zakat pertanian.

Zakat Perniagaan 

Zakat perniagaan ini hukumnya wajib dikeluarkan. Ianya merujuk kepada hasil yang diperoleh daripada harta perniagaan tanpa mengira perniagaan yang melibatkan barangan mahupun perkhidmatan.

Zakat Wang Simpanan

Zakat wang simpanan ini secara umumnya merujuk kepada zakat yang perlu dikeluarkan sekiranya terdapat wang yang disimpan dalam akaun simpanan di bank atau mana-mana institusi kewangan sekiranya memenuhi syarat-syaratnya.

Zakat Saham

Zakat saham pula wajib dikeluarkan kerana nilai dan kekayaan boleh diperolehi seseorang melalui aktiviti jual-beli atau pemilikan saham.

Zakat KWSP

Zakat KWSP pula sama konsepnya dengan wang simpanan, cuma perbezaannya simpanan KWSP tidak boleh dikeluarkan sesuka hati kerana pencarum hanya boleh mengeluarkan sebahagian/keseluruhan apabila cukup syarat pengeluaran yang telah ditetapkan sahaja. Hukum untuk zakat KWSP ini wajib ditunaikan sekiranya wang caruman KWSP itu dikeluarkan.

Zakat Emas

Sepertimana yang ramai ketahui, emas lazimnya ditonjolkan sebagai simbol kekayaan dan kemewahan. Oleh kerana nilainya yang tinggi dan tidak semua orang mampu memilikinya, justeru daripada itu zakat diwajibkan ke atas emas ini sama ada ia didalam bentuk perhiaan mahupun simpanan atau pelaburan.

Zakat Perak

Walaupun tidaklah mahal macam emas, namun perak adalah logam yang masih berguna dan berharga untuk zaman modenisasi ini. Oleh itu, perak juga turut dikenakan zakat termasuklah yang berbentuk syiling perak, jongkong perak, perkakasan perak, barang perhiasan perak, barang kemas perak dan sebagainya.

Zakat Pertanian

Mereka yang melakukan aktiviti bercucuk tanam dan banyak menghasilkan pelbagai tanaman yang bernilai juga boleh dianggap sebagai harta. Oleh yang demikian, mereka yang memenuhi syarat hendaklah mengeluarkan zakat pertanian ini.

@zakatselangor

Dah bayar zakat fitrah ke belum? #zakat #zakatselangor #sebarkebaikandimanapun #sebarkebaikan #fypシ #beranda #fyp

♬ original sound – zakatselangor – zakatselangor

Justeru daripada itu, segeralah bayar zakat anda di kaunter-kaunter zakat ataupun melalui online dan e-wallet. Lebih baik selesaikan awal-awal supaya tidak berlaku kekalutan di kemudian hari. Nak tahu lebih lanjut berkenaan zakat ini, layari platform media sosial Lembaga Zakat Selangor.

Aqmal Ezany

I write what is right