Siakap Keli
Saman Gagal Pamer Cukai jalan
Kredit Sinar Harian

Anggota Polis Keluarkan Saman Gagal Pamer Cukai Jalan Bakal Disiasat

Anggota Polis Keluarkan Saman Gagal Pamer Cukai Jalan Bakal Disiasat

Satu Siasatan dalaman akan dilakukan oleh polis terhadap seorang anggota perondanya yang didakwa mengeluarkan saman ke atas individu yang gagal mempamerkan cukai jalan dalam kejadian di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, satu hantaran yang dimuat naik oleh seorang individu di Facebook berhubung gambar memaparkan saman polis yang dikeluarkan terhadapnya telah dikesan oleh pihaknya.

Menurut Mohamad Fakhrudin, semakan mendapati saman yang dikeluarkan adalah atas kesalahan gagal mempamerkan cukai jalan di lokasi berkenaan dan telah dikeluarkan oleh anggota polis peronda pada 16 April lalu.

“Arahan sudah dikeluarkan kepada petugas di lapangan untuk tidak mengeluarkan saman berkaitan kesalahan tidak mempamer Lesen Kenderaan Motor (LKM).

“Ia selepas arahan dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan melalui Menterinya, Anthony Loke pada 10 Februari lalu.

“Siasatan dalaman akan dibuat ke atas anggota terbabit di atas kecuaian dilakukan dan kita sudah membatalkan saman berkenaan,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.

BACA: “Berhabis Beli Baju Sekolah, Terus ‘Standby’ Modal Raya Pula,” Ni Cara Nak Kurangkan Kos Persiapan Raya Sampai 85%

Tidak perlu pamer cukai jalan

Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan lesen memandu dan pelekat cukai jalan (road tax) kini sudah boleh dimiliki secara digital bermula hari ini.

Menerusi sidang medianya hari ini, beliau berkata lesen memandu dan lesen kenderaan motor atau roadtax boleh diakses secara digital. Ia boleh dibuat menerusi aplikasi MyJPJ yang sudah boleh dimuat turun.

Beliau berkata, pembaharuan tersebut dibuat susulan aduan orang ramai mengenai pelekat roadtax yang disifatkan leceh dan menyusahkan.

Justeru, bagi mengatasi masalah tersebut, pihaknya telah berusaha untuk mencari jalan penyelesaian menerusi strategi pendigitalan.

Bagi  pemilik kenderaan persendirian warganegara boleh menggunakan mod paparan LKM Digital (e-LKM). Serta LMM Digital (e-LMM) melalui Portal Awam JPJ atau Aplikasi Mobile MyJPJ mulai 10 Februari 2023.

Pengecualian ini akan diwartakan di bawah kuasa yang diberi kepada Menteri Pengangkutan di bawah Seksyen 127 (1) (b) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: Sinar Harian

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka