“Nanti Nak Jaga Anak Saya,” Gadis Kongsi Pernah Terlanjur, Terjebak Sebab Dendam Dengan Mak Kerana Tak Dipedulikan
Beberapa tahun kebelakangan ini acapkali kita mendengar berkenaan kes kelahiran luar nikah dikalangan remaja perempuan di negara kita.
Kelahiran luar nikah bukanlah satu perkara yang harus dipandang enteng, ini kerana ia melibatkan pembangunan akhlak sahsiah remaja kita pada masa hadapan.
Disebabkan kes kelahiran luar nikah melibatkan remaja perempuan terus terjadi, terdapat beberapa rumah perlindungan telah didirikan bagi membantu golongan remaja tersebut.
Bukan setakat terlanjur mereka yang menjadi mangsa penderaan seksual juga boleh mendapatkan bantuan di rumah perlindungan ini.
Salah satu rumah perlindungan tersebut adalah Darus Saadah yang menempatkan seramai 1100 pelatih sejak ia ditubuhkan pada 1989. Pelatih di rumah perlindungan tersebut meliputi remaja berusia daripada 14 tahun sehingga 25 tahun.
Pusat perlindungan ini telah ditubuhkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan telah mendapat bantuan zakat sepenuhnya dalam kategori asnaf Ar-Riqab.
Sumbangan itu diberi bagi memastikan kebajikan penghuni di pusat perlindungan tersebut agar terus dapat dibantu.
Pusat perlindungan Darus Saadah
Lazimnya, apabila bercakap berkenaan rumah perlindungan ini, pelbagai kisah sedih dan teladan kita boleh dapat bila berkunjung ke tempat ini.
Baru-baru ini, Siakap Keli sempat menyertai majlis Ziarah Ramadan Pusat Pungutan Zakat (PPZ)-MAIWP di Darus Saadah bagi menyampaikan sumbangan.
SK juga diberi peluang untuk menemu bual dua orang penghuni yang mempunyai pengalaman hampir sama tentang bagaimana mereka boleh berakhir di pusat perlindungan tersebut.
Walau bagaimanapun, artikel ini akan lebih memfokuskan berkenaan kisah hidup salah seorang penghuni Darus Saadah yang di temu bual bernama Ira (bukan nama sebenar).
Berdasarkan sesi temu bual tersebut, sebelum masuk ke Darus Saadah, Ira telah berada di Darus Saadah sejak sembilan bulan yang lalu atas kerelaannya sendiri untuk mengubah diri menjadi yang lebih baik.
Ira didapati mengandung sebelum dia mula mendaftarkan diri sebagai pelatih di pusat perlindungan Darus Saadah.
Dia juga sempat meminta lelaki yang mengandungkannya untuk bertanggungjawab, namun lelaki tersebut menolaknya dan meninggalkannya.
Justeru dia telah meminta tolong daripada kakak tirinya untuk mencari dan mendaftarkan diri di pusat perlindungan tersebut.
“Saya minta tolong kakak tiri untuk daftar masuk sini. Saya juga masuk secara sukarela.” kata Ira apabila ditanya oleh wakil daripada SK.
Apabila bertanya berkenaan latar belakang keluarganya, jelas dari pergerakan Ira yang menunjukkan dia kurang selesa.
Ira berkata, ayah kandungnya sudah meninggal dunia manakala mak nya berada di Johor. Dia juga mempunyai sembilan adik beradik tiri yang berlainan ayah.
Disoal tentang bagaimana dia boleh terjerumus dalam keterlanjuran ini, dia menjawab bahawa kehidupannya dahulu sangat bebas.
“Saya bebas bergaul, ambil minuman dan barang terlarang. Saya tiap-tiap hari balik lewat malam dan hanya tahu enjoy,” kata Ira lagi.
Menurut Ira, dia menjadi seperti itu kerana berdendam dengan mak nya yang tidak mempedulikannya sejak kecil lagi. Dia telah dibesarkan dan dijaga oleh makcik tanpa kasih sayang seorang ibu. Mak nya juga sering naik tangan dan memukul dirinya.
Namun kini setelah berada di pusat perlindungan ini, dendamnya sudah sedikit berkurang. Malah dia juga berhasrat untuk berjumpa dengan keluarga dan juga anaknya yang kini sedang dijaga oleh makciknya.
Sempat berpesan kepada para wanita di luar sana
Ira juga sempat meninggalkan pesanan dan nasihat kepada orang ramai untuk sentiasa menjaga diri apabila bersosial.
“Nasihat saya, kalau nak bersosial harus berhati-hati dan berpada-pada. Apabila melakukan sesuatu benda ingat tuhan. Lebih baik berkahwin daripada terus melakukan maksiat,” pesan Ira kepada orang ramai.
Daripada temubual ini, kita dapat ambil beberapa pengajaran penting dari kisah hidup Ira. Pengajarannya adalah sayangi anak-anak anda dan sentiasa pantau tindak tanduk mereka. Jangan pernah membelakangi dan menghiraukan mereka.
Yang paling penting, jaga batas pergaulan antara lelaki dan perempuan serta pilih kawan yang mampu membimbing ke arah kebaikan.
Golongan seperti Ira ini sangat memerlukan sokongan orang sekeliling untuk meneruskan kehidupan.
Selain diberi peluang menemu bual penghuni Darus Saadah, SK juga berpeluang untuk menemu bual pengetua pusat perlindungan tersebut.
Terima Sumbangan Zakat Melalui PPZ
Menurut Puan Nur Azlin binti Abu Mansur, Pengetua Darus Saadah, pembangunan pusat perlindungan ini telah menerima sumbangan sepenuhnya dari PPZ sejak ia ditubuhkan.
Sumbangan itu termasuk dalam bidang pengurusan dan aktiviti yang dijalankan oleh pusat perlindungan tersebut. Pelatih yang masuk ke Darus Saadah juga tidak dikenakan bayaran pendaftaran sepanjang dua tahun mereka berada di sana.
Apabila ditanya berkenaan aktiviti dan rutin harian pelatih di Darus Saadah, Puan Nur Azlin berkata mereka menekankan pendidikan berasaskan fardu kifayah dan fardu ain.
“Setiap hari ada jadual, bermula 5.30 pagi akan solat subuh dan sarapan. Kemudian ada kelas Al-Quran. Seterusnya kita fokuskan kelas kemahiran seperti jahitan, masakan dan kraf tangan,” kata Puan Nur Azlin.
Untuk mereka yang mahu mendaftar ke Darus Saadah ia harus dengan kerelaan individu tersebut dan mendapat persetujuan keluarga.
Puan Nur Azlin juga berharap agar pelatih yang sudah keluar dari Darus Saadah kelak dapat memanfaatkan ilmu yang mereka belajar supaya terus istiqomah dan tidak kembali melakukan perkara yang tidak baik.
Zakat badan penting dalam membantu golongan kurang bernasib baik
Zakat bukan sahaja untuk golongan fakir miskin, tapi ia juga untuk mereka yang menghadapi kesusahan dalam hidup untuk berhijrah ke arah kebaikan.
Justeru mari kita menjalankan tanggungjawab untuk membayar zakat. Selain dapat membantu fakir miskin kita juga dapat memberikan sinar hidayah kepada mereka yang berniat untuk berubah.
Anda juga boleh pergi ke laman web Zakat untuk mengetahui info-info menarik dan hebahan terbaru dari PPZ.