Siakap Keli
pantulan gerhana matahari
Kredit: Facebook

Pantulan Unik Gerhana Matahari Di Atas Jalan Di Indonesia

Pantulan Unik Gerhana Matahari Di Atas Jalan Di Indonesia 

Hampir seluruh rakyat Indonesia dilapor dapat menyaksikan gerhana matahari yang berlaku sekitar jam 9.45 pagi tadi waktu Indonesia, lapor Kompas.com.

Difahamkan, fenomena alam itu terjadi berikutan gerhana matahari hibrid yang berlaku ke utara dari benua Australia.

Susulan gerhana itu jarang berlaku, ramai yang mengambil peluang untuk merakamkan kejadian tersebut dengan melihatnya di lokasi yang ditetapkan.

Menerusi perkongsian seorang wanita di Facebook, dia memuat naik gambar bayangan gerhana matahari yang terpancar di atas jalan raya, di Dili yang terletak di Timor Leste.

Bukan setakat hanya satu pantulan cahaya, namun jalan raya itu dipenuhi dengan bentuk separa matahari yang bertindih antara satu sama lain.

Pertindihan itu menjadikan fenomena yang jarang berlaku itu terlihat indah dan seakan-akan menyerupai pantulan cahaya yang terkena pada dahan pokok.

Dalam gambar yang dikepilkan, boleh dilihat bentuk separa bulan itu bertindih sesama sendiri dan kelihatan berselerak di jalan raya tersebut.

Kredit: Facebook
Kredit: Facebook
Kredit: Facebook

Perkongsian wanita itu mendapat perhatian ramai kerana pancaran tersebut menghasilkan seni yang tidak memerlukan masa dan tenaga manusia.

Malah, ia terjadi disebabkan oleh fenomena alam yang menggunakan kuasa Tuhan dan semestinya tiada tandingan.

BACA: Menakjubkan, Keindahan Gerhana Matahari Separa Dirakam Di Sabah & Sarawak

Berkumpul seawal 7.30 pagi.

Difahamkan, ramai yang mula berkumpul di Taman Ismail Marzuki, Jakarta Pusat seawal 7.30 pagi untuk menyaksikan fenomena itu.

Kira-kira 2,500 orang menyaksikan gerhana itu dan anggaran tersebut melebihi ketetapan yang dibuat oleh penganjur majlis di lokasi berkenaan.

Pegawai Perhubungan Awam Planetarium Jakarta Eko Wahyuwibowo berkata pihaknya sebelum ini menyediakan 1,600 cermin mata untuk orang ramai yang datang melihat fenomena itu.

“Terdapat juga 17 teleskop, 13 untuk pelawat, empat untuk pemerhatian dan dokumentasi,” katanya kepada pemberita.

Walaupun cuaca agak mendung, para pelawat menantikan gerhana itu dengan semangat dan waktu kemuncak gerhana berlaku pada 10.45 pagi.

Untuk makluman, gerhana matahari hibrid berlaku apabila Matahari, Bulan, dan Bumi berada dalam garisan yang sama.

Oleh itu, di tempat tertentu, peristiwa gerhana Bulan yang diperhatikan dari Bumi adalah lebih kecil daripada gerhana Matahari.

Sementara itu, dari beberapa tempat lain, kejadian gerhana Bulan yang diperhatikan dari Bumi adalah sama dengan gerhana Matahari.

Akibatnya semasa puncak gerhana di tempat tertentu, Matahari akan kelihatan seperti cincin, yang gelap di tengah dan terang di tepi.

Manakala di beberapa tempat lain, Matahari seolah-olah ditutupi oleh Bulan.

Peristiwa gerhana Matahari hibrid ini dikatakan jarang berlaku kerana kali terakhir kejadian serupa berlaku di Jakarta ialah pada tahun 1807.

Sumber: Kompas.com, Facebook

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana