Populasi Di India Dijangka Bakal Atasi China – PBB
India dijangka memintas China untuk menjadi negara yang memiliki populasi paling tinggi di dunia pada pertengahan tahun ini, lapor BBC.
Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Pertubuhan bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), populasi di India dijangka bakal mencecah 1.4286 bilion, iaitu lebih 2.9 juta penduduk berbanding negara jirannya dengan 1.4257 bilion penduduk.
Kedua-dua negara Asia terbabit telah menampung lebih daripada satu pertiga bagi populasi global untuk lebih daripada 70 tahun.
Sungguhpun begitu, kadar kelahiran di China telah menurun sejak kebelakangan ini. Perkara ini ditambah dengan jumlah populasinya yang merudum pada tahun lepas, kali pertama sejak 1961.
Ramalan populasi India yang disediakan dalam laporan United Nations Population Fund (UNFPA) State of World Population merupakan satu anggaran, memandangkan tiada bancian yang dilakukan di negara tersebut.
Selepas 140 tahun menjalankan bancian secara konsisten bagi setiap 10 tahun, bancian pada tahun 2021 telah dibatalkan disebabkan wabak COVID-19.
Bancian ditangguhkan
Oleh itu, bancian tersebut ditangguhkan sehingga 2022, dan ditangguhkan lagi sekali sehingga 2024.
Menerusi satu sesi temubual BBC, Ketua Bahagian Anggaran dan Unjuran Populasi PBB, Patrick Gerland berkata apa-apa angka berkaitan dengan saiz populasi India adalah ‘andaian yang naif berdasarkan serpihan maklumat’.
“Kami tidak memiliki data rasmi sebenar daripada India,” katanya.
Selain itu, PBB mengatakan anggaran terbabit tidak melibatkan populasi dari dua Kawasan Pentadbiran Khas, Hong Kong dan Macau.
Kedua-duanya dijangkakan memiliki jumlah populasi seramai lapan juta penduduk.
Pada masa yang sama, Beijing melihat kebarangkalian Taiwan untuk menjadi sebahagian daripada China satu hari nanti.
Walau bagaimanapun, Taiwan melihat dirinya sebagai satu entiti yang berasingan daripada China, dengan memiliki perlembagaannya yang tersendiri serta para pemimpin yang dilantik secara demokrasi.
November lepas, jumlah populasi global telah mencecah angka lapan bilion namun, pakar mengatakan pertumbuhan ini bukanlah seperti yang berlaku sebelum ini.
Bagi mereka, ini merupakan kadar pertumbuhan populasi paling perlahan sejak 1950.
Sehubungan itu, India dan China telah menyaksikan kemerosotan dari segi kadar kesuburan.
Hal ini bermakna, populasi di China akan terus merosot bermula tahun hadapan, walaupun negara terbabit telah memansuhkan polisi satu anak pada 2016 dan memperkenalkan insentif bagi pasangan yang memiliki lebih daripada dua orang anak.
Peningkatan kos sara hidup dan peningkatan jumlah wanita yang menceburi bidang perkerjaan merupakan antara faktor yang mempengaruhi kemerosotan populasi di China.
Manakala di India, kadar kesuburan telah dilaporkan merudum sejak beberapa dekad ini. Kemerosotan ini dilihat daripada 5.7 kelahiran per wanita pada 1950 sehingga 2.2 kelahiran per wanita pada hari ini.
Rakyat India risau akan pertumbuhan populasi yang dijangka memberi impak terhadap ekonomi di negaranya
Berdasarkan soal selidik yang dijalankan UNFPA, majoriti rakyat India mengatakan jumlah populasi negara mereka terlalu besar dan kadar kesuburan negara mereka terlalu tinggi.
Dua per tiga dari keseluruhan responden meletakkan isu ekonomi sebagai kebimbangan utama apabila bercakap mengenai pertumbuhan populasi.
Namun begitu, ahli demografi mengatakan pertumbuhan populasi India melebihi China sepatutnya tidak dilhat sebagai satu perkara yang merisaukan.
“Mereka sepatutnya melihatnya sebagai satu simbol kemajuan, pembangunan, dan aspirasi jika hak individu dan pilihan diutamakan,” berdasarkan keratan dalam laporan PBB.
BACA: Serba Salah Balik Raya Lepas Suami Tiada, Reaksi Keluarga Mentua Ini Buat Penonton Berair Mata
Sumber: BBC