Siakap Keli
Ayatollah Abbas Ali Soleimani Dibunuh
Kredit: AFP

Tokoh Ulama Berpengaruh Iran, Ayatollah Abbas Ali Soleimani Maut Dibunuh

Tokoh Ulama Berpengaruh Iran, Ayatollah Abbas Ali Soleimani Maut Dibunuh

Tokoh ulama berpengaruh Iran, Ayatollah Abbas Ali Soleimani dibunuh dalam satu serangan bersenjata, lapor media tempatan Rabu ini.

“Ayatollah Abbas Ali Soleimani dibunuh dalam satu serangan bersenjata dan pelakunya turut diberkas,” lapor agensi berita IRNA dengan memetik sumber rasmi.

Difahamkan, serangan tersebut berlaku di bandar Babolsar, yang terletak di utara wilayah Mazandaran, tambah laporan agensi berkenaan.

Menurut sumber rasmi, serangan tersebut berlaku di sebuah bank yang terletak di bandar tersebut.

“Motif serangan terbabit masih belum diketahui dan kemas kini berkenaan insiden terbabit akan diumumkan kelak,” tambah sumber berkenaan.

Gabenor Mazandaran, Mahmoud Hosseinipour berkata, penyerang tersebut merupakan seorang pegawai keselamatan di bank tersebut.

“Setakat ini, maklumat dan dokumen yang diperolehi pihak kami menunjukkan bahawa ini bukanlah satu tindakan berunsurkan keselamatan mahupun pemberontakan,” Hosseinipour memberitahu stesen televisyen awam.

BACA: Ala-Ala GTA, Budak Bawa Lari Bas & Pandu Keliling Singapura

Soleimani (75) yang merangkap salah seorang ahli dalam Majlis Pakar, pernah menjadi wakil Pemimpin Tertinggi negara, Ayatollah Ali Khamenei.

Selain itu, beliau turut menjadi imam solat Jumaat di bandar Kashan yang terletak di tengah wilayah Isfahan. Soleimani turut dilaporkan mengetuai sesi solat Jumaat di bandar Zahedan yang terletak di tenggara Sistan-Baluchistan.

Berdasarkan perlembagaan, 88 ahli Majlis Pakar yang berpengaruh diberikan mandat untuk melantik, memantau dan memecat Pemimpin Tertinggi negara tersebut.

Badan musyawarah yang berkuasa autonomi itu kini diketuai seorang ulama ultra konservatif, Ahmad Jannati yang berusia kira-kira 96 tahun.

Para ahli dipilih menerusi sesi pilihan raya untuk penggal lapan tahun. Calon-calonnya pula akan ditapis oleh Majlis Penjaga Negara.

Untuk makluman, serangan terbabit dipercayai merupakan antara insiden serangan yang melibatkan golongan ulama di negara tersebut dalam beberapa tahun.

Terdahulu, satu serangan turut dilancarkan di timur laut bandar Mashhad, bandar suci bagi penganut Islam Syiah pada April 2022. Serangan tersebut telah membawa kepada kematian dua orang ulama Iran serta kecederaan bagi beberapa individu yang lain.

BACA: 4 Suspek Diberkas, Dipercayai Rompak Pelantar Minyak Di Tanjung Langsat

Sumber: AFP

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma